Sorting by

×

‘Nasi cincin’ kejutan ‘frontliner’ rai ulang tahun perkahwinan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Kesibukan tugas harian sebagai ‘frontliner’, tidak menghalang kreativiti seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Azmizi Azhari, 33 meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-8 dengan cara tersendiri.

Bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, Mohd Azmizi membuat kejutan buat isterinya, Faseha Misdari, 32, dengan menghadiahkan sebentuk cincin diletakkan di dalam bekas polisterin makanan.

Menurutnya, idea itu terdetik selepas minggu lalu dia turut membuat kejutan sambutan hari lahir bapanya di Terengganu.

“Idea tu tidak terlintas pun pada mulanya, namun minggu lepas ‘birthday’ ayah di kampung (Terengganu) saya sekadar panggil ‘surprise delivery’ buat belon-belon di kampung.

AZMIZI menghadiahkan sebentuk cincin buat isteri yang diletakkan dalam bekas polisterin sehingga tular di laman media sosial, semalam.

“Lepas tu saya terfikir, bulan ni ada lagi ‘anniversary’ nak kena sambut, saya pula sibuk kerja hari-hari kena menghadap kes COVID-19 dekat Jasin ni.

“Masa beli barang dekat Pasaraya Mydin Jasin, dalam tu ada kedai emas… isteri saya memang suka barang kemas, jadi saya buat keputusan nak beli cincin emas sebab isteri dah ada gelang dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Katanya, sebelum ini sambutan ulang tahun perkahwinan diraikan dengan membawa isteri dan anak-anak pergi makan di luar, namun ia terbatas sejak penularan wabak COVID-19.

“Malam sebelum ‘anniversary’ tu saya baru terfikir nak buat macam mana sebab nak sambut dekat luar tak boleh.

“Jadi saya rancang bangun awal pagi pergi beli makanan, waktu tu isteri tengah tidur lagi, sampai di gerai saya bungkus roti canai dan minta bekas politerin lebih.

“Saya buat senyap-senyap dalam kereta tulis sikit ucapan atas kertas letak dalam politerin sekali cincin, tak tahu dia (isteri)  jam 11 baru tengok sarapan tu.

“Tiba-tiba isteri hantar pesanan di ‘WhatsApp’ ucap terima kasih dan terharu, pada awalnya dia pelik kenapa bekas polisterin tu ringan sangat, ingatkan ada makanan rupanya hadiah cincin,” kata bapa kepada dua orang anak lelaki.

AZMIZI, isteri dan anak-anak bergambar bersama pada Aidilfitri 2021. (foto Facebook isteri Azmizi)

Azmizi berkata, kejutan itu sebagai tanda penghargaan buat isterinya yang selalu meluangkan masa menjaga anak-anak memandangkan dia sendiri tiada masa untuk bersama keluarga.

“Saya dari tahun lalu sejak PKP 1.0 kerja tak henti. Saya buat macam ni sebab saya selalu kerja keluar malam balik pagi, kadang tu dia (isteri) yang jaga anak-anak.

“Saya balik kerja dah penat dia la yang uruskan, jadi kejutan ni sebagai penghargaan dan dia rasa seronok saya hargai dia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1908
Kongsi :
Previous post ICU Hospital Melaka kian kritikal
Next post Melaka buka 3 PPV baharu, percepat proses vaksinasi
Ubah saiz-+=