Barangan kawalan, keperluan asas dan makanan stabil- KPDNHEP Melaka
AYER KEROH 23 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi jaminan kedudukan barang kawalan, keperluan asas serta makanan di negeri ini berada dalam kedudukan stabil.
Justeru semua rakyat Melaka diminta supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sekali gus menghasilkan panik dalam kalangan masyarakat.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata, Pejabat KPDNHEP (PKPDNHEP) Negeri Melaka juga amat komited dalam memastikan bekalan barangan kawalan, keperluan serta makanan sentiasa ada namun, masyarakat perlu lebih berhemah dalam menjadi pengguna yang bijak.
“Pihak Kementerian juga menasihati masyarakat agar membeli barangan yang diperlukan dengan kadar yang perlu sahaja sekali gus mengelakkan pembaziran serta memberi ruang kepada masyarakat setempat untuk sama sama mendapatkan barangan keperluan.
“Seperti dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, waktu operasi disingkatkan serta pengaktifan sistem bekerja dari rumah dilaksanakan.
“Namun, peniaga diingatkan sentiasa patuh kepada undang-undang serta peraturan yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini sepenuhnya kerana penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan ke atas premis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, peniaga juga diberi amaran supaya mematuhi sepenuhnya SOP terkini yang digariskan oleh kerajaan dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan diambil.
“Sebagai maklumat tambahan, PKPDNHEP telah memeriksa sebanyak 12,104 premis perniagaan bermula Januari 2021 sehingga 22 Mei lalu.
“Hasil pemeriksaan PKPDNHEP menghasilkan 101 kes di bawah akta yang dikuatkuasakan KPDNHEP yang mana RM31,800 kompaun direkodkan serta RM82,929.65 denda dikenakan oleh mahkamah,” katanya.
Norena berkata, KPDNHEP Melaka telah melantik 58 Pemborong Daerah Terpilih (District Dedicated Wholeseller @ DDW), 140 Peruncit Daerah Terpilih (District Dedicated Retailer @ DDR) dan sejumlah Mini Stok dari senarai DDW yang terdiri dari peniaga barangan keperluan di seluruh negeri Melaka yang berperanan sebagai pembekal dan pengedar.
Katanya, semua peniaga ini perlu memberikan laporan status kedudukan barangan keperluan kepada KPDNHEP secara harian bagi memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi untuk pengguna di negeri Melaka.
“Pengguna juga perlu menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan,” katanya lagi.
Sebarang pertanyaan lanjut dan juga ingin menyalurkan aduan, orang ramai khususnya rakyat Melaka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal 8 pagi hingga 6 petang atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.