HIDE diaktifkan untuk kesan penularan kawasan berisiko tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PUTRAJAYA 22 Mei – Premis atau kawasan yang berisiko tinggi dalam penularan COVID-19 diarahkan menghentikan operasi atau ditutup serta-merta.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan terus menggunakan sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi seperti di kawasan perkilangan atau pusat beli-belah.

Katanya, arahan penutupan operasi itu selepas penilaian dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Setelah KKM membuat penilaian risiko dan libat urus, kawasan yang didapati masih berisiko tinggi akan ditutup serta-merta,” katanya pada sidang media harian bersama Ketua Pengarah Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata selaras dengan sekatan tambahan itu, penguatkuasaan dan jumlah sekatan jalan raya akan ditingkatkan bagi memantau pematuhan SOP.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sedar terdapat cadangan untuk melaksanakan PKP sepenuhnya seperti PKP 1.0, namun ia tidak dilaksanakan kerana mengambil kira sektor ekonomi khususnya melibatkan peniaga kecil yang akan terkesan dengannya.

Ditanya mengapa kilang yang menjadi antara lokasi utama penularan COVID-19 masih dibenar beroperasi, Ismail Sabri berkata sekatan operasi premis itu boleh menyebabkan syarikat berkenaan gulung tikar sekali gus mengakibatkan rakyat hilang pekerjaan.

“Pada PKP 1.0 dianggarkan 800,000 orang kehilangan pekerjaan kerana syarikat-syarikat besar terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

361
Kongsi :
Previous post Premis swasta wajib semak status MySejahtera pengunjung
Next post Ke pejabat hanya jika tak boleh BDR- KSN
Ubah saiz-+=