Sorting by

×

PKP 3.0: peniaga siap sedia sebarang ketentuan diumumkan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 22 Mei – Rata-rata peniaga di negeri ini bersiap sedia dengan pelaksanaan sebarang prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan  3.0 (PKP 3.0) diperketatkan.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke beberapa lokasi perniagaan pelbagai sektor di negeri ini mendapati kebanyakan pemain industri itu peka dengan keadaan berlaku, namun menaruh harapan tinggi supaya pengumuman kerajaan akan memberi perhatian setiap aspek demi kepentingan semua pihak.

SUKUR.

Peniaga Sukur Atan, 60, berkata, dia yakin sekiranya pelaksanaan seperti memperketatkan SOP ataupun PKP sepenuhnya oleh kerajaan mampu memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Menurutnya, biarpun PKP 3.0 diperketatkan dia berharap peniaga kecil tepi jalan sepertinya diberi kebenaran beroperasi bagi mencari rezeki untuk menyara keluarga.

“Kita berniaga disini memang bersemangat bila banyak kerajaan dah bantu daripada segi prasarana dan sebagainya.

“Tapi bila dengar orang kata PKP 3.0 nak diperketatkan, kita harap kerajaan menimbang sektor kecil seperti ini dan peraturan ditetapkan tidak menyekat perniagaan dan pendapatan kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

FARAH RAHIMAH.

Peniaga dobi Farah Rahimah Mohd Rashid, 31, turut berharap sektor perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi selepas perniagaannya berdepan keadaan tidak menentu sejak setahun lalu.

Katanya perkhidmatan dobi kaunter kini berdepan cabaran dengan peraturan SOP yang ketat berbanding kedai dobi layan diri sejak pandemik terbabit melanda.

“Kadangkala PKP berubah-ubah dan kami tidak dibenarkan beroperasi. Hanya dobi layan diri saja dibenarkan dan ini memberi kesan kepada perniagaan.

“Jadi jika kerajaan mengumumkan sebarang SOP lebih ketat atau sebagainya, saya berharap semua aspek sudah dipertimbangkan,” katanya.

SAZALI.

Sementara itu, Pengurus Hotel MITC  Sazali Sabri berkata, pihaknya reda keputusan kerajaan memperketatkan PKP 3.0 atau melaksanakan PKP menyeluruh seperti PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.

“Jika nak perketatkan SOP PKP 3.0 kita menyokong kerana yakin dengan cara itu ia mampu melandaikan lengkung jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Jika penularan pandemik ini berlarutan ia akan membawa kesan serius kepada sosial dan ekonomi seperti mana yang dihadapi oleh industri perhotelan di Melaka terutama hotel bajet yang kini kerugian hampir 90 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post Duit boleh cari, nyawa tidak boleh diganti – Rakyat
Next post Unit bom Bukit Aman dipanggil siasat insiden letupan di Kampung Sireh
Ubah saiz-+=