JAIM pantau IPIS tak berdaftar
PENGKALAN BATU 4 Julai – Pengusaha Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang tidak berdaftar di negeri ini dilarang beroperasi kerana dikhuatiri gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan keselamtaan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat bagaimanapun berkata, IPIS yang tidak berdaftar termasuk intistusi sekolah mahupun pusat tahfiz akan dipantau JAIM supaya mereka membuat permohonan untuk didaftarkan secara penuh, mahupun sementara.
Katanya, sebelum IPIS dibenar dibuka beberapa langkah keselamatan perlu diambil bagi memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dipatuhi melalui pelbagai pendekatan yang perlu diambil.
“JAIM akan melaksanakan kaedah penggunaan ‘Google form’ bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak sekolah tentang kesediaan mereka untuk beroperasi pada masa ini.
“Malah kami turut akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Melaka, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka termasuk pihak polis bagi mengadakan taklimat kepada guru-guru IPIS berkaitan SOP dan garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Sekolah tahfiz akan dibuka secara berperingkat bergantung kepada kesediaan sekolah tersebut khususnya dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“JAIM turut akan mengadakan pemantauan berkala kepada sekolah IPIS bermula hari pertama ia beroperasi dengan membabitkan pelbagai agensi terlibat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini, semalam.
Tambah Azhan, jumlah IPIS yang berdaftar di negeri ini meliputi dua pendaftaran iaitu daftar penuh dan sementara sebanyak 87 pendaftaran direkodkan sejak 22 Jun lalu.
“87 pendaftaran itu meliputi 24 IPIS telah mendapat pendaftaran penuh manakala 63 adalah IPIS telah melakukan daftar sementara,” katanya.