Melaka negeri contoh model perumahan – Zuraida
TABOH NANING 3 Julai – Melaka menjadi negeri contoh kepada negara dalam soal penjualan perumahan berkualiti yang ditawarkan pada harga berpatutan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menerusi lawatan kerjanya di negeri ini selama dua hari, mengakui penilaian itu dibuat dengan pelbagai faktor sebelum memutuskan negeri ini merupakan negeri contoh dalam model perumahan.
Ujarnya, pencapaian itu membuatkan pihaknya mempertimbangkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik di negeri ini akan dibina untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40).
“Saya lihat kualiti pembinaan perumahan di negeri ini sangat tinggi dengan gerak kerja yang cukup bermutu, malah harga yang ditawarkan begitu memuaskan.
“Jadi ini kita akan jadikan model untuk kementerian agar kita mampu membina lebih banyak lagi rumah untuk golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Dataran Keris, di sini pagi tadi.
Pada masa sama, ujar Zuraida, sebelum mempelbagai inisiatif pembinaan perumahan dibangunkan, pihaknya akan mengkaji semula pemilihan tanah yang bersesuaian di negeri ini.
“Kita kena semak balik tanah-tanah yang sesuai di mana tanah yang dicadangkan itu, kita akan turun padang melihat semula sama ada ia benar-benar bersesuaian dan sebagainya,” katanya.