MPHTJ peruntuk RM900,000 atasi banjir
PENGKALAN BATU 20 Mei. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan memperuntukkan RM900,000 bagi menambah baik kolam takungan di kawasan yang paling teruk terjejas banjir.
Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, peruntukan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Banjir yang dilakukan secara dalaman semalam dengan sebut harga projek berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Katanya, pembesaran kolam takungan itu membabitkan tiga kawasan perumahan yang paling mendesak ketika ini iaitu di Taman Bukit Beruang Utama dan Taman Melawis, masing-masing mempunyai satu dan dua kolam takungan.
“Selepas sebut harga dikeluarkan, projek ini akan dimulakan secepat mungkin dan kita menyasarkan ia dapat disiapkan sebelum November depan.
“Kita berharap sangat projek penambahbaikan yang dilakukan dapat untuk mengurangkan permasalahan banjir di sekitar Bukit Beruang yang kerap berlaku dan memberi kesan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Misi Pembersihan Pasca Banjir peringkat MPHTJ yang dijalankan secara serentak di empat lokasi, membabitkan 700 kediaman di Taman Bukit Beruang Utama, Taman Melawis, Bukit Beruang Bistari dan Kampung Pulau Nibong.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Mengulas lanjut, Shadan berkata program itu bagi membantu penduduk terjejas membersihkan barang-barang serta perabot yang rosak akibat banjir dan menghantar barangan itu ke tapak pelupusan yang dikhususkan.
Jelasnya, program sehari itu penting untuk memastikan segala sampah-sarap dan bahan buangan dibersihkan segera bagi mengelakkan timbulnya wabak lain seperti kencing tikus dan denggi.
“Seramai 200 petugas daripada pelbagai agensi termasuk anggota MPHTJ, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kerja Raya serta pemimpin setempat terlibat dalam program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.