12 lokasi sampah haram dibersihkan
PAYA RUMPUT 3 Julai – Sebanyak 12 lokasi longgokan sampah haram direkodkan dalam satu Operasi Sampah Haram & Pukal di Kawasan perindustrian Taman Teknologi Cheng, baru-baru ini.
Operasi tersebut telah dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, hasil operasi didapati longgokan itu berpunca dari pembuangan sampah yang banyak dari kawasan sekitar.
“Kuantiti sampah meningkat disebabkan kawasan rumah kedai yang dijadikan asrama pekerja kilang dan sikap pekerja yang tiada kesedaran sivik.
“Kawasan ini menjadi kotor berikutan segelintir pekerja yang membaling sampah dari tingkat atas,” katanya kepada MHI.
Katanya, pada operasi tersebut sebanyak enam tan sampah dikutip dan dihantar ke tapak pelupusan sampah Sungai Udang.
“Jenis sisa pukal yang dibuang seperti perabot, baju-baju lama, sofa, kayu, ranting pokok, perkakasan dapur, sisa makanan dan bahan binaan.
“Wakil pengurusan kilang perlu bertanggungjawab atas pembuangan dan kerosakan yang dibuat pekerja mereka,” katanya.
Ujarnya, MBMB juga telah mendapatkan wakil pengurusan kilang untuk bertanggungjawab atas pembuangan sampah haram itu dan memastikan ia tidak lagi berlaku.
“Pihak SWCorp juga sentiasa memantau kawasan-kawasan ‘hot spot’ bagi memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya.