Tiada istilah perabot baharu

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

DURIAN TUNGGAL 18 Mei. – Tiada istilah perabot baharu bagi mangsa banjir di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di sini kerana rumah mereka sering dinaiki air sejak 10 tahun lalu.

Berikutan itu, mereka tidak mengganti perabot baharu sejak 10 tahun lalu kerana ia merugikan akibat dirosakkan oleh air bah.

Ahmad Faizal Muhammad Sah, 42, berkata setiap kali hujan lebat di sebelah hulu, sungai di belakang kediamannya sering melimpah.

AHMAD Faizal menunjukkan bekas paras air yang naik di kediamannya di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal.

“Tiada gunanya membeli perabot baharu kerana rumah saya dan jiran tetangga berhampiran sungai akan dinaiki air jika hujan lebat di hulu.

“Kami terpaksa menggunakan perabot lama yang sudah berkali-kali ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung itu hari ini.

Beliau adalah seorang daripada puluhan penduduk kampung itu yang terjejas akibat banjir semalam berikutan hujan lebat sejak jam 5 pagi.

Katanya, air yang naik dengan cepat hingga mencecah paras kira-kira 0.6 meter pada jam 7 pagi menyebabkan dia dan isteri, Aziah Samsuddin, 39, serta lima anak berusia antara lima hingga 16 tahun terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal.

Ahmad Faizal yang mengambil upah mengecat bangunan berkata, tindakan pantasnya membawa keluar anggota keluarga membolehkannya turut menyelamatkan motosikalnya daripada tenggelam.

Ibu mentuanya, Rokiah Mohamad, 64, berkata dia dan suami, Samsuddin Ismail, 67, tidak berpindah ke PPS kerana air hanya mencecah hingga paras lutut di kediamannya.

AHMAD Faizal (tengah) dan Rokiah serta Samsuddin meneliti sungai di belakang kediaman mereka yang sering melimpah ketika hujan lebat di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal.

“Rumah saya di kawasan tinggi sedikit daripada rumah Aziah dan Ahmad Faizal, jadi saya tidak berhasrat pindah ke PPS kerana saya yakin air tidak akan naik lagi.

“Alhamdulillah, pagi ini air semakin surut dan sekali lagi saya dan suami terpaksa bertungkus lumus membersihkan rumah daripada kotoran lumpur,” katanya.

Samsuddin berkata, sungai di belakang kediamannya tidak mampu lagi menampung peningkatan air ketika hujan lebat berbanding 20 tahun lalu.

“Lebih 10 tahun lalu, sungai itu dalam dan air boleh mengalir dengan laju walaupun hujan di sebelah hulu tetapi sekarang, keadaan sudah jauh berubah kerana ia semakin cetek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran membantu memperdalam sungai berkenaan bagi membantu mengatasi masalah banjir yang amat membebankan kehidupan penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post Cabut jeriji tingkap, selamatkan diri daripada banjir.
Next post PPS kelapan dibuka di SK Demang Husin
Ubah saiz-+=