Sorting by

×

KPKT tubuh Penggerak Komuniti Tempatan, langkah perluas Dasar Komuniti Negara

Masa Membaca:50 Saat

PENGKALAN BATU 2 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menubuhkan Penggerak Komuniti Tempatan di kawasan perumahan sebagai antara langkah memperluaskan lagi Dasar Komuniti Negara yang ditubuhkan sejak 2019.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa tersebut bertanggungjawab untuk memberdayakan komuniti serta membantu masyarakat di kawasan masing-masing.

“Penubuhan ini bertepatan dengan situasi semasa yang mana kita sedang berada dalam fasa pemulihan Covid-19. Alhamdulillah kita sudah bersedia lebih awal dan itu membuatkan pelaksanaan untuk menyampaikan maklumat dasar ini menjadi lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Penggerak Dasar Komuniti Negara, cawangan Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini.

Katanya lagi, selain Penggerak Komuniti Tempatan, pihaknya turut mewujudkan Sekretariat Muafakat Komuniti di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

“Tugas sekretariat ini penting untuk menguruskan penghuni-penghuni di kawasan PPR terutama memberdayakan mereka dari segi ekonomi, pembelajaran, kewangan serta menjaga harta benda di kawasan masing-masing.

“Kita juga mahu mereka menjalankan program-program kitar semula sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan di kawasan PPR mereka,” katanya lagi.

Views:

560
Kongsi :
Previous post Menteri KPKT sasar tambahan 30 peratus anggota bomba wanita
Next post Zuraida dirai sempena lawatan kerja ke Melaka
Ubah saiz-+=