Sorting by

×

Norma baharu Aidilfitri untuk perangi COVID – Agong

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang perlu sekali lagi disambut dengan norma baharu adalah untuk kebaikan dan masa depan bersama dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Pengorbanan itu, titah Seri Paduka, menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tanpa aktiviti kunjung-mengunjung dan balik kampung di samping menikmati juadah tradisi, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat perlu bersyukur kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

“Beta menyedari rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik COVID-19. Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan melanda,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong tidak mahu kerukunan hidup bermasyarakat dilupakan menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama rakyat, dalam situasi semasa dihadapi negara.

Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau agama yang telah bersama-sama memerangi pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskanlah melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan,” titah Seri Paduka.

Menerusi kesatuan seluruh rakyat Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan bahawa negara akan berupaya membendung penularan pandemik COVID-19.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Malaysia berdepan gelombang ketiga lebih mencabar – PM
Next post PKP perlu dilaksana meskipun tidak popular- Muhyiddin
Ubah saiz-+=