Menyorok dalam but kereta kerana mahu beraya dengan suami, wanita Indonesia ditahan di SJR
ALOR GAJAH 12 Mei – Taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warganegara Indonesia yang menyorok di but sebuah kereta e-hailing untuk beraya dengan suaminya di sini gagal apabila dia ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini petang tadi.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan dalam keadaan berbaring di but belakang kenderaan terbabit pada jam 2.30 petang tadi.
Turut ditahan pemandu e-hailing lelaki berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata ketika kejadian empat anggota polis bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membuat sekatan di lokasi terbabit sebelum mengesan kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut dalam kereta terbabit kemudian menemukan suspek wanita berkenaan berada dalam but kereta dalam keadaan berbaring.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengakui mahu menghantar suspek wanita berkenaan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Alor Gajah dan tambang akan dijelaskan suaminya sebaik tiba.
“Suspek wanita pula mendedahkan dia mahu ke Alor Gajah untuk berjumpa suaminya bagi meraikan Aidilfitri bersama esok selepas tidak bertemu sejak setahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut Arshad berkata, siasatan lanjut mendapati suspek wanita berkenaan pada awalnya duduk di tempat duduk belakang dari Nilai sebelum berpindah memasuki ruang but kereta terbabit sebelum tiba ke SJR terbabit.
“Semasa disoal siasat, wanita itu mengakui pening dan berasa loya seperti hendak muntah kerana kekurangan oksigen di dalam but.
“Semakan mendapati PATI wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala pemandu e-hailing ditahan mengikut Seksyen 56(1)(D) akta sama kerana melindungi pendatang tanpa izin (PATI).
“Kedua-duanya turut akan dikenakan kompaun mengikut Peraturan 15 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.