Polis Melaka keluarkan 87 saman trafik
AYER KEROH 10 Mei. – Polis Melaka mengeluarkan 87 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam tiga operasi berasingan semalam.
Dalam Op Samseng Jalanan, Op Mabuk dan Op Bising dijalankan bermula Jumaat lalu hingga tengah malam tadi turut menahan 30 individu yang melakukan pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam Op Samseng Jalanan, pihaknya turut menyita enam kereta yang dipandu enam lelaki dipercayai terbabit dalam lumba haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Katanya, dalam operasi sama pihaknya menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan usia 30-an pada jam 3 pagi terbabit dalam Op Mabuk di sekitar bandar Melaka.
“Manakala dalam Op Bising, kita menahan 15 individu yang berusia di bawah 23 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk mengubahsuai motosikal di Klebang dan Kandang kira-kira jam 2.30 pagi.
“Turut ditahan empat remaja dipercayai terbabit dalam lumba haram di Klebang dan Kandang antara jam 2.30 hingga 3 pagi.
“Jumlah keseluruhan saman dikeluarkan dalam ketiga-tiga operasi itu adalah 87 atas pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, JSPT memberi amaran kepada penduduk negeri Melaka yang tinggal di kawasan sempadan tidak sesekali mengambil kesempatan untuk merentas daerah sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
Berikutan itu, tegasnya, pihaknya turut mempertingkatkan kawalan di beberapa laluan tikus yang sering digunakan untuk merentas daerah dan negeri.
“Masyarakat diingatkan jangan cuba (ambil kesempatan untuk menggunakan) laluan tikus kerana di situlah biasanya anggota trafik akan menjalankan penguatkuasaan, jadi kalau mereka cuba hendak rentas daerah atau negeri tanpa surat kita akan kompaun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.