Sorting by

×

‘Demo balik raya dengan ambe deh’

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

NILAI 10 Mei. – Bimbang berlaku sesuatu kepada rakan baiknya yang mengalami masalah penglihatan di kampus, seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) nekad membawa rakannya pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mohd Amirol Ridzuan Aripin, 23, yang juga penuntut tahun tiga Sarjana Muda Sunnah dan Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah berkata, dia tidak tergamak meninggalkan rakan sekuliahnya, Mohd Sufri Syahrifuddin,23, di asrama seorang diri.

Katanya, hatinya berasa tidak tenang memikirkan Mohd Sufri yang berasal dari Kunak, Sabah menguruskan diri di asrama kerana masalah penglihatan terhad yang memerlukan seseorang untuk sentiasa bersamanya.

MOHD Amirol (kanan) membantu rakannya Mohd Sufri (kiri) mengemas keperluan untuk dibawa pulang menyambut Aidilfiri di Kemaman, Terengganu. Mereka menaiki bas yang disediakan USIM dari Dewan Tuanku Canselor. Foto- USIM.

“Mohd Sufri pernah beberapa kali terjatuh apabila berjalan berseorangan di kampus sehingga pernah mengalami kecederaan serius.

“Sejak dari awal minggu orientasi di tahun pertama dahulu saya ambil tanggungjawab sehingga kini untuk membantunya. Kebetulan kami sekuliah dan rakan sebilik di asrama, jadi lebih mudah.

“Dia rapat dan selesa dengan saya, jadi pastinya saya merasa sedih jika dia menyambut Aidilfitri seorang diri di asrama,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM, hari ini.

Menurutnya, dia juga bimbang soal keselamatan dan makan minum sahabatnya itu kerana selama ini dia yang menguruskannya.

“Ibu bapa saya pun sudah menganggap Mohd Sufri sebagai anak sendiri…adik-beradik juga rapat dengan dia, jadi emak minta bawa dia pulang berhari raya bersama kami,” kata anak keenam daripada lapan adik-beradik itu.

Mereka berdua antara kumpulan pertama 181 penuntut USIM yang dihantar pulang ke kampung masing-masing di Kelantan dan Terengganu menggunakan bas universiti pada malam Sabtu lalu dalam program Pergerakan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021.

IMBAS….penuntut USIM melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum menaiki bas untuk pulang ke kampung. Foto- USIM.

Bagi Mohd Sufri, dia berterima kasih kepada Mohd Amirol dan keluarganya kerana mengambil berat keadaan dirinya.

“Meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama mereka seperti meraikan bersama keluarga saya. Ibu bapa di Sabah bersyukur kerana saya tidak berseorangan dan titipkan pesanan untuk saya jaga kesihatan dan jaga diri,” katanya.

Sementara itu, kumpulan kedua pelajar USIM seramai 74 orang selamat bergerak pulang ke kampung masing-masing di Melaka, Johor dan Perak pagi semalam menaiki empat bas dan sebuah van universiti yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Seramai 1,979 pelajar USIM yang berada di kampus terbabit program itu yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, dengan 538 orang daripadanya memilih pulang menggunakan kenderaan universiti bermula 8 hingga esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

977
Kongsi :
Previous post Mayat kanak-kanak lelaki tergelincir ke dalam longkang ditemukan
Next post Pembayar cukai bergaji diingat kemuka BNCP selewat-lewatnya pada 15 Mei
Ubah saiz-+=