Sorting by

×

MHI, MTA bela nasib keluarga susah

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Mei. – Nasib ibu tunggal yang menyara empat anak di sini mendapat perhatian Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd dan Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) dalam misi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Zaini Omar, 42 ketika ditemui meluahkan rasa syukur apabila nasib keluarganya turut terbela ditambah pula mempunyai seorang anak menghidap penyakit leukemia.

“Terima kasih beri sumbangan kepada anak saya, sebagai emak siapa yang tak sedih bila dapat tahu anak menghidap leukemia.

“Alhamdulillah saya dah boleh terima… anak (Nur Rabiatul Adawiyah Azman,11) pada mulanya pun rasa sedih dan kerap menangis tapi saya beri semangat untuk dia teruskan kehidupan,” katanya kepada MHI pada Program Nur Ramadan MHI dan MTA di sekitar Melaka Tengah, semalam.

ZAINI bertanyakan sesuatu kepada anaknya.

Lebih mengharukan Zaini sanggup berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas seawal jam 4.30 pagi demi menghantar anaknya itu mendapatkan rawatan susulan dan kimoterapi di hospital pakar di ibu kota.

Katanya sudah menjadi kebiasaan untuk menghantar anaknya dan dia bersyukur kerana masih mendapat sokongan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan sejak berpisah dengan suami awal tahun ini.

“Saya gembira melihat keadaan anak sekarang yang sudah mula menerima hakikat menjadi seorang penghidap kanser di usia begini,” katanya.

HASMIDAH membantu suaminya yang uzur.

Sementara itu, kunjungan ke rumah Hasmidah Johari, 38 di Bukit Baru disambut dengan suasana pilu apabila hilang tempat bergantung selepas suaminya, Khairulnizam Mohamed, 38, jatuh sakit dan tidak dapat bekerja.

Hasmidah berkata, dia bersyukur dengan sumbangan yang dihulurkan untuk dia sekeluarga meneruskan kehidupan.

“Dalam keadaan sukar ditambah pula suami tidak mampu lagi bekerja selepas jatuh sakit, segala perbelanjaan bergantung pada kudrat saya.

“Saya melakukan kerja-kerja sukarelawan dengan mengemas surau-surau dan hanya dibayar RM200 sebulan.

“Tak tahu nak cakap macam mana tapi terima kasih banyak-banyak sebab akak tak ada mak dan ayah memang perit dengan pendapatan akak RM200 sahaja,” katanya dengan nada sedih.

HASMIDAH.

Sementara itu Presiden MTA Madeline Kuah Wey Lee berkata, pihaknya akan terus menjalankan misi mendekati golongan yang memerlukan di negeri ini.

“Meskipun bimbang dengan peningkatan kes COVID-19, misi kebajikan seperti ini tetap diteruskan kerana ramai masyarakat yang masih kesempitan hidup di luar sana.

“Kalau kamu ikut prosedur operasi standard (SOP), kurangkan orang yang pergi melawat dan ada niat nak tolong, memang boleh,” katanya selepas menyalurkan sumbangan kepada tujuh keluarga memerlukan hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Melaka United hanya mampu seri
Next post Penghadang batu ganti plastik, tutup laluan tikus di Besut
Ubah saiz-+=