Sorting by

×

Pembinaan kilang tayar dijangka rancakkan semula industri getah negara- Khairuddin

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

PADANG BESAR 9 Mei. – Pembinaan kilang tayar di negara ini dijangka mampu merancakkan semula industri getah negara yang sebelum ini mengalami penguncupan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, beliau yakin industri getah negara mampu pulih dan harga komoditi itu akan meningkat semula.

“Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) sedang bergerak untuk menghidupkan dan merancakkan semula industri tayar kerana ia mempunyai nilai pasaran yang besar serta dapat memberi kesan positif kepada industri getah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kepada 100 pekebun kecil getah yang terjejas akibat COVID-19 di Dewan Bukit Kerang, dekat sini.

“Sebelum ini hasil getah negara dieksport ke luar negara untuk membuat tayar, namun adalah baik jika kita menyediakan sendiri industri hiliran dengan menghasilkan produk sendiri,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti pelabur tempatan yang berminat membuat pelaburan dan ia akan diumumkan selepas ini.

“Selepas ini saya akan umumkan secara rasmi syarikat yang ingin bekerjasama dengan kita, jumlah nilai pelaburan dan kesannya kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Khairuddin berkata mesyuarat pertama melibatkan pelabur yang berminat dalam industri tersebut akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post 4,000 penunggang motosikal dapat petrol percuma
Next post COVID: Kes baharu turun kepada 3,733, angka kematian rekod tertinggi hari ini
Ubah saiz-+=