Sorting by

×

4,000 penunggang motosikal dapat petrol percuma

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

LENDU 9 Mei – Program Gerobok Rezeki UMNO Bahagian Masjid Tanah hari ini memberi petrol percuma kepada 4,000 penunggang motosikal.

Program yang dimulakan pada 20 April lalu itu melalui sumbangan 10,000 makanan untuk berbuka puasa, hari ini menceriakan penunggang motosikal kerana mendapat sekurang-kurangnya dua liter petrol percuma di empat stesen minyak.

Mereka mengisi bahan api itu di stesen minyak pekan Masjid Tanah, Simpang Ampat, Lubok Cina dan Kuala Sungai Baru dari jam 9 pagi tadi hingga petang ini.

AB Rauf membantu mengisi petrol di stesen minyak di pekan Masjid Tanah. Foto DIN AHMAD

Semalam sahaja 7,500 papan telur diagihkan kepada anggota komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau, Lendu dan Kuala Linggi mengikut program yang sama yang dilancarkan Ketua UMNO negeri yang juga Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ketika ditemui di stesen minyak di pekan Masjid Tanah, Ab Rauf beramah mesra dengan penunggang motosikal sambil membantu mengisi minyak motosikal mereka.

“Alhamdulillah, inilah komitmen UMNO bahagian untuk membantu meringankan beban perbelanjaan harian anggota komuniti menjelang Aidilfitri.

“Walaupun tidak seberapa, ia tetap membantu melegakan mereka, terutama B40 untuk mengeluarkan perbelanjaan harian,” katanya sambil menambah setiap motosikal berkenaan menerima petrol tidak lebih RM5.

ABDUL Rahim.

Pemilik motosikal, Abdul Rahim Azali, 34, berkata dia mengambil peluang itu untuk memastikan tangki minyaknya penuh untuk digunakan berulang-alik dari rumah di Kampung Sungai Tuang ke Balai Nelayan Pengkalan Balak.

“Setiap hari saya berulang alik ke balai itu untuk ke laut mencari rezeki dan dengan adanya pengisian penuh petrol, ia mampu bertahan antara tiga hingga empat hari,” katanya.

Othman Ibrahim, 63, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada UMNO kerana memberi petrol percuma.

OTHMAN.

“Alhamdulillah, dengan isian RM5 petrol, bolehlah saya menggunakan motosikal untuk berulang alik dari rumah di Pengkalan Balak ke kebun sejauh kira-kira tiga kilometer (km).

“Sekurang-kurangnya tiga atau empat hari saya tidak perlu mengisi petrol sementara menunggu minyak habis digunakan,” katanya.

Katanya, Aidilfitri yang dijadualkan Khamis ini memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi dan program pengisian petrol itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post 600 anggota polis kawal sembilan SJR tetap, empat SJR ‘mobile’
Next post Pembinaan kilang tayar dijangka rancakkan semula industri getah negara- Khairuddin
Ubah saiz-+=