600 anggota polis kawal sembilan SJR tetap, empat SJR ‘mobile’
ALOR GAJAH 9 Mei – Sebanyak Sembilan sekatan jalan raya (SJR) tetap termasuk di semua pintu keluar masuk daerah di negeri memulakan operasi berkuat kuasa malam ini susulan arahan terbaharu semua aktiviti rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan bermua esok hingga 6 Jun ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, semua SJR itu termasuk empat SJR ‘Mobile’ yang akan membuat pemantauan di beberapa laluan tikus, membabitkan seramai 600 pegawai dan anggota keseluruhannya.
Katanya, pihaknya akur dengan arahan terbaharu itu dan mengatur perancangan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan penularan wabak yang kian meningkat termasuk mengurangkan pergerakan orang awam.
“Bagi mencegah pergerakan rentas daerah, kita akan menempatkan sembilan SJR tetap dan empat SJR Mobile yang membabitkan kira-kira 600 anggota termasuk pasukan pemantau bagi mengawal pergerakan orang ramai.
“Langkah itu adalah untuk memastikan hasrat kerajaan supaya larangan aktiviti rentas daerah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersahur bersama petugas barisan hadapan di SJR Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, pagi tadi.
Program berkenaan dianjurkan kerajaan negeri bersama UMNO Bahagian Masjid Tanah yang turut dihadiri Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Datuk Yusof Jantan dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dalam tempoh sama, semua aktiviti sosial, Pendidikan dan ekonomi yang boleh menimbulkan perhimpunan atau kesesakan awam, tidak dibenarkan.
Ia termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.
Menurut Abdul Majid, beliau berharap masyarakat memberikan Kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan mematuhi segala arahan ditetapkan dari semasa ke semasa demi kesihatan dan keselamatan semua pihak.
“Kita mesti mengutamakan kesihatan awam dan kepentingan negara selain kepentingan diri sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.