Sorting by

×

Masjid Selat Melaka diangkat tema panjut gergasi Kampung Ribu

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PADANG RENGAS 9 Mei. – Aktiviti menyalakan panjut secara besar-besaran menjelang Aidilfitri kembali meriah setelah tradisi itu tidak dibenarkan pada tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Ribu.

Sejak tahun 90-an lagi, pemasangan panjut dilakukan di sini, namun pada 2014 ia dibuat secara besar-besaran pada malam tujuh likur oleh penduduk setempat dengan bergotong-royong bagi memeriahkan lagi suasana menjelang Aidilfitri.

Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu Amiruddin Mohd Lazim berkata, pada tahun ini pemasangan panjut secara besar-besaran dapat diteruskan semula setelah mendapat kebenaran daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar.

ORANG ramai mengabdikan gambar panjut gergasi di Kampung Ribu,Kuala Kangsar,Perak. Foto-Sinar Harian.

“Tahun lalu boleh dikatakan ahli persatuan saya sangat kecewa berikutan PKP dan tidak boleh buat panjut secara besaran. Pihak IPD Kuala Kangsar hanya benarkan pemasangan panjut secara kecil-kecilan sahaja.

“Alhamdulillah tahun ini pihak IPD Kuala Kangsar memberi kami kelulusan menyalakan panjut secara besaran tetapi sehingga 12 tengah malam sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pada tahun ini, jawatankuasa persatuan itu telah memilih panjut bertemakan Masjid Selat Melaka bagi mengembalikan ingatan kegemilangan Melaka sebagai tamadun besar pertapakan Islam di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

“Menara panjut kali ini memerlukan 32 batang buluh, empat aras tingkat menggunakan 128 tetupai, 64 batang gelegar, 24 keping lantai dan lebih 2000 pelita diperlukan bagi menyalakan panjut,” jelasnya.

Seorang pengunjung Siti Rohana Yunus, 38 yang berasal dari Melaka, amat teruja dan gembira apabila pemasangan panjut secara besaran dapat dilakukan semula.

“Saya memang akan datang pesta panjut setiap tahun sejak menjadi guru di Perak. Menariknya di sini sahaja saya akan dapat lihat panjut besar dan kagum cara pembuatannya kerana di Melaka cuma ada pemasangan pelita.

“Sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi apabila menjelang malam tujuh likur masyarakat di sini akan memasang panjut dan pelita buluh di sekitar halaman rumah. Saya rasa nostalgia sangat melihat pelita dan panjut di kampung ini,” katanya.

Menariknya walaupun Kampung Ribu berada di pedalaman dan pengunjung perlu melalui jalan yang sempit namun keistimewaan dan kemeriahan panjut di sini mendapat sambutan daripada penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1290
Kongsi :
Previous post AEON Bandaraya Lengang
Next post 600 anggota polis kawal sembilan SJR tetap, empat SJR ‘mobile’
Ubah saiz-+=