AEON Bandaraya Lengang
PENGKALAN BATU 9 Mei. – Pasar raya AEON Bandaraya Melaka yang ditutup berikutan disenaraikan dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) lengang tanpa kehadiran pengunjung.
Arahan penutupan operasi pusat beli-belah itu bermula pada hari ini sehingga Selasa bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan di seluruh bangunan berkenaan.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di tiga pintu masuk pekarangan pusat beli-belah itu ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan orang ramai memasuki kawasan terbabit.
Justeru, pekarangan bangunan itu termasuk tempat parkir kereta sepi tanpa kehadiran pengunjung yang sebelum ini dipenuhi orang ramai kerana mahu membeli-belah bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Khamis ini.
Rata-rata pengunjung terpaksa berpatah balik dan ada yang tertanya-tanya mengenai penutupan operasi pasar raya itu.
Bagaimanapun, pengurusan pusat beli-belah itu sudah menampal notis pengumuman di semua laluan masuk dan orang ramai hanya dibenarkan mengambil barang yang dibeli secara talian di pasar raya berkenaan secara pandu lalu.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, sebanyak 151 pusat beli-belah terkemuka, pasar raya besar, pasar awam, rangkaian pasar mini terkenal serta bazar Aidilfitri tersenarai sebagai lokasi titik panas penularan COVID-19 menerusi sistem amaran awal HIDE.
Semua premis berkenaan diarahkan ditutup serta-merta selama tiga hari berkuatkuasa hari ini.
BERITA BERKAITAN:Â 14 rangkaian AEON disanitasi
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.