14 rangkaian AEON disanitasi
KUALA LUMPUR 9 Mei. – Kerja-kerja sanitasi secara menyeluruh di 14 pusat beli-belah dan pasar raya termasuk Aeon Bandaraya, Melaka yang diarahkan tutup berikutan disenaraikan dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan dijalankan bermula hari ini sehingga Selasa.
Aeon Co (M) Berhad dalam kenyataannya berkata, ia susulan arahan penutupan operasi selama tiga hari sebagaimana diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bagi membolehkan kerja-kerja itu dijalankan.
Katanya, pihaknya akan menjalankan proses sanitasi untuk keselamatan dan kesejahteraan pekerja, penyewa premis, rakan niaga serta pelanggan.
“Antara pusat beli belah dan pasar raya yang akan ditutup bagi kerja-kerja sanitasi adalah Pusat Beli-Belah AEON Alpa Angle; Cheras Selatan; Rawang; Taman Equine; Bukit Indah dan Bandaraya Melaka.
“Turut ditutup pasar raya AEON iaitu AEON Mid Valley; Bandar Utama; Bandar Sunway dan Queensbay manakala bagi rangkaian MaxxValue Prime iaitu di Sunway Velocity; The Sphere Bangsar South; Selayang Mall serta United Point,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pelanggan disarankan untuk mengunjungi pasar raya AEON yang beroperasi seperti biasa di kawasan berhampiran sebagai alternatif membeli-belah.
“Lawati laman web http://fresh.myaeon.com.my untuk maklumat lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.