Pencarian kanak-kanak dikhuatiri lemas diperluas hingga ke Sungai Linggi
SEREMBAN 9 Mei. – Pencarian kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas akibat tergelincir ke dalam sebuah longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, semalam diperluas hingga ke Sungai Linggi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Mohd Asree Abd Hamid berkata, pencarian Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang ditangguh 3.30 pagi disambung semula sekitar 7.40 pagi tadi ditumpukan di permukaan serta dasar di sungai dan Kolam Tadahan Air Taman Arowana.
“Kita pecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan pertama buat pencarian dari lokasi awal mangsa terjatuh sehingga ke kolam takungan.
“Pasukan kedua pula dari kolam takungan hingga ke Sungai Linggi yang melibatkan pencarian sehingga sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata kekuatan anggota mencari dan menyelamat pada hari ini melibatkan 30 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba seramai 14 orang.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa bersama abangnya berusia sembilan tahun dan rakan berusia 12 tahun dikatakan sedang bermain sebelum tergelincir ke dalam longkang di flat berkenaan dan dihanyutkan air deras yang ketika itu hujan lebat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.