Sorting by

×

Polis Melaka tidak bercadang periksa kasut pada Aidilfitri

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 8 Mei. – Polis Melaka tidak bercadang untuk memeriksa kasut dari rumah ke rumah sepanjang Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sebaliknya pihaknya akan menggunakan kaedah lain untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri kali ini iaitu menerusi kemasukan kenderaan di pintu-pintu sempadan negeri dan plaza tol.

ABDUL Majid memantau muatan lori yang masuk melalui Plaza Tol Ayer Keroh.

Beliau berkata, kebiasaanya jumlah kenderaan yang memasuki negeri ini adalah sekitar 50,000 hingga 70,000 kenderaan, namun jika jumlah kenderaan meningkat secara luar biasa, pihaknya akan memperketatkan pemeriksaan dan membuat pemantauan.

“Jumlah kenderaan inilah yang akan menjadi indikator kita di setiap pintu masuk. Dari situ kita akan menilai kemasukan kenderaan yang mana jika jumlahnya melebihi kebiasaan, pemeriksaan ketat akan dijalankan.

“Pada masa sama, kita juga akan menggerakkan pasukan pemantau di kawasan taman perumahan dan kompleks beli-belah untuk memastikan tidak berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Singgah Sahur bersama Pengamal Media Melaka (PENDIKA) dengan mengedarkan sejumlah 100 pek makanan sahur kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di tiga plaza tol di negeri ini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Penasihat PENDIKA, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

ABDUL Majid mengiringi Mohamad Ali meninjau operasi sekatan jalan raya di plaza tol Simpang Ampat.

Mengulas lanjut, Abdul Majid memberi peringatan kepada perantau agar tidak cuba merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung.

Tegasnya, sekiranya didapati ada yang cuba melanggar arahan, tiada lagi budi bicara akan diberikan oleh pihak polis, sebaliknya akan terus mengeluarkan kompaun.

“Masyarakat tidak boleh marah jika pihak berkuasa mengambil tindakan kerana saban hari masyarakat sudah didedahkan mengenai SOP yang ditetapkan.

“Tempoh yang ada sekarang amat kritikal kerana menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, jangkitan banyak berlaku akibat aktiviti rentas negeri dan jika perkara ini tidak dikawal ia kes baharu COVID-19 boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Majid turut menggalakkan setiap rumah menyediakan kod QR MySejahtera atau buku catatan pengunjung berserta cecair pembasmi kuman sepanjang tempoh ziarah Aidilfitri pada 1 hingga 3 Syawal nanti.

Ujarnya, penyediaan itu amat penting untuk mengesan penularan COVID-19 lebih awal sekiranya berlaku sebarang jangkitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Melaka akur ‘travel bubble’ digantung sementara
Next post Hotel di Ayer Keroh cetus kluster baharu
Ubah saiz-+=