Sorting by

×

Program kerajaan negeri berskala besar tangguh atau batal- Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 5 Mei. – Semua program kerajaan negeri berskala besar termasuk rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan atau dibatalkan berikutan peningkatan mendadak kes di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang ditetapkan semalam, melegakan rakyat negeri ini kerana aktiviti ziarah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal dengan mengehadkan 25 tetamu pada satu masa.

Bagaimanapun, katanya sebagai langkah pencegahan awal kerajaan negeri menetapkan supaya sebarang program berskala besar membabitkan kerajaan negeri dibatalkan atau ditunda bagi meredakan situasi semasa COVID-19 di negeri ini.

“Ada (program) yang dibatalkan dan ada ditangguhkan. Buat masa ini semua program kerajaan negeri mahupun program rumah terbuka dan sebagainya tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh PKPP.

“Ia susulan daripada penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menandatangani perjanjian pajakan dan pembangunan antara kerajaan negeri Melaka dan Greenwood Riverside Sdn Bhd bagi kawasan seluas 2.9 ekar di Klebang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan ditetapkan dan kemungkinan akan ada lagi perincian lanjut yang akan diumumkan.

“Jadi, apapun yang berlaku kita patut bersyukur jika dibandingkan dengan tahun lalu kita tidak boleh buat apa-apa, sebaliknya tahun ini dibenarkan (aktiviti menziarahi).

“Meskipun aktiviti kunjung-mengunjung di waktu perayaan dibenarkan, namun jangan seronok sangat kerana jangan disebabkan aktiviti ziarah-menziarahi menyebabkan berlakunya penularan COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post Lebih banyak PPV mega akan dibuka untuk beri vaksin COVID-19- Khairy
Next post Projek pembangunan bernilai RM10 juta akan dibangunkan di Klebang
Ubah saiz-+=