Melaka benarkan aktiviti ziarah Aidilfitri
KLEBANG 4 Mei. – Melaka tiada masalah membenarkan aktiviti rentas daerah bagi ziarah Hari Raya Aidilfitri selagi rakyat negeri ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti ziarah dengan kapasiti 25 orang pada satu-satu di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan seharusnya disambut penuh kesyukuran memandangkan tahun lalu, seluruh negara berdepan suasana suram tatkala Syawal.
Justeru, beliau menasihati rakyat menggunakan kelonggaran yang diberi sebaik-baiknya dalam memastikan hari raya yang disambut tahun ini penuh bermakna dan tidak menjadi punca penularan pandemik COVID-19.
“Syukur kerana aktiviti rentas daerah masih dibenarkan dan segala aktiviti masjid juga dapat kita teruskan pada hari yang penuh berbahagia sempena 1 Syawal nanti.
“Apapun, patuhilah SOP yang ditetapkan termasuklah kunjungan tidak melebihi 25 orang di satu-satu rumah dan begitu juga ziarah kubur yang mana saya tidak mahu ada di antara rakyat Melaka bersesak-sesak di pagi Syawal.
“Saya percaya, jika kita dapat laksanakan dengan baik sepanjang tempoh tiga hari pertama Syawal ini, Melaka akan kekal berada di bawah PKP Pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 120 penerima di kawasan Parlimen Tangga Batu, bertempat di Kompleks Japerun Klebang.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Pengerusi Penyelaras Japerun Klebang, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, Ketua Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Wira Sazali Muhd Din.
Parlimen Tangga Batu adalah destinasi terakhir jelajah Sumbangan Ramadan yang dianjurkan kerajaan negeri dalam usaha menyantuni serta meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik di setiap kawasan Parlimen seluruh negeri.
Jelajah itu bermula di Parlimen Alor Gajah dan seterusnya ke Masjid Tanah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan terakhir di Tangga Batu yang mana kesemua penerima menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan dalam memastikan aspek kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.