‘Arwah tidak pernah tolak tugasan’
KLEBANG 5 Mei.- Disifatkan antara anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berdedikasi tinggi terhadap tugas, pemergian Sarjan (PA) Mohd Hafiszan Mohamed akibat serangan jantung ketika bertugas menangani kes pokok tumbang, Sabtu lalu adalah kehilangan besar kepada pasukan.
Pegawai Bencana Operasi Daerah Melaka Tengah Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan yang mengenali arwah sejak 2017 berkata, sepanjang bertugas bersama Mohd Hafiszan, dia tidak pernah menolak tugasan diberikan.
“Arwah seorang yang tidak pernah menolak kerja termasuk sebagai jurulatih kawad atas pengalamannya berkhidmat dengan tentera selama 13 tahun.
“Memang kita (APM Melaka) kekurangan jurulatih kawad, jadi dia (Mohd Hafiszan) biasa dihantar mana-mana dan dia memang tidak pernah tolak kecuali ada hal tidak dapat dielakkan.
“Boleh dikatakan dia selalu juga ikut saya dalam operasi di luar dan namanya sering ‘naik’ sebab komitmen ditujukkan dalam kerja,” katanya ditemui di rumah keluarga arwah.
Beliau berkata, Mohd Hafiszan juga seorang yang tenang dan lebih gemar berdiam diri jika tiada apa hendak dibualkan.
“Arwah baru dua bulan ditauliahkan pangkat dari koperal kepada sarjan atas kecemerlangan tugas dan dia sememangnya layak.
“(Bagi saya) pemergiannya satu kehilangan besar, malah semasa proses pengkebumian saya difahamkan ramai sahabat datang memberi penghormatan terakhir,” katanya yang tidak dapat mengikuti pengebumian pada malam Ahad lalu kerana menguruskan penghantaran pesakit COVID-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor.
Menurut Mohd Kamil lagi, dia menerima mesej melalui WhatsApp daripada anggota APM mengenai kejadian menimpa Mohd Hafiszan sekitar jam 9.30 malam kejadian dan terus ke Hospital Melaka.
“Saya diberitahu arwah orang pertama menerima panggilan kes (pokok tumbang) jam 6.50 petang dan tiba di rumah pengadu lima minit sebelum buka puasa.
“Dikatakan pemanggil itu mengajak arwah dan anggota APM yang lain berbuka terlebih dulu sebelum memulakan kerja.
“Namun arwah seperti tidak nak makan dan hanya minum sedikit sebelum mulakan kerja memotong pokok tumbang sebesar kira-kira tiga pemeluk itu,” katanya.
Katanya, sewaktu kerja pemotongan pokok itu arwah menghubungi pasukan lain untuk membantu operasi memandangkan pokok besar.
“Ketika dalam proses menyiapkan kerja, arwah mengadu sakit dada dan berehat dalam ambulans. Apabila rakan melihat keadaannya semakin serius termasuk mengalami muntah, mereka terus membawanya ke hospital,” katanya.
Dalam perkembangan sama Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab turut menziarahi keluarga arwah dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,000 menerusi Tabung Amanah Pertahanan Awam (TAPA) pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Lokman Effendi Ramli, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM Penolong Pesuruhjaya (PA) Ghazali Abd Rahman, Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra dan timbalannya Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim.
BERITA BERKAITAN: Ambil cuti petanda ‘cuti’ selamanya