Galeri Petronas tamat operasi
KUALA LUMPUR 3 Mei. – Galeri Petronas di Suria KLCC menamatkan operasi sebagai galeri awam bulan ini berikutan penyesuaian semula model operasinya dengan perubahan yang dibawa oleh pandemik COVID-19.
Galeri Petronas menerusi kenyataan hari ini berkata, meskipun ruang awam galeri ditutup, karya seni dari Kolekasi Seni Petronas tetap tersedia untuk dipinjamkan ke program dan inisiatif berkaitan.
“Ini selari dengan komitmen Petronas untuk mempromosikan pemahaman dan penghayatan seni yang lebih besar di Malaysia.
“Pekerja tetap yang terkesan dengan penutupan berkenaan sudah berjaya ditugaskan ke peranan baharu di Petronas,” menurut galeri berkenaan.
Galeri Petronas yang diwujudkan sejak 28 tahun lalu, iaitu pada tahun 1992 memperjuangkan seni melalui sebahagian besar usaha Petronas ke arah memupuk perkembangan masyarakat holistik yang penting bagi kemajuan ekonomi dan sosial Malaysia.
Selama bertahun-tahun, galeri tersebut mempamerkan pameran, penerbitan dan program penting yang sangat besar dalam menyokong misinya untuk mempromosikan dan melestarikan seni kontemporari Malaysia.
Galeri berkenaan memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan memberi pendedahan kepada bakat tempatan dan karya mereka serta mengadakan banyak pameran asing untuk menggalakkan pertukaran antara artis tempatan dan asing untuk kepentingan bersama.
Galeri Petronas juga mendapat keistimewaan untuk bekerjasama dengan individu dan institusi yang memiliki aspirasi dan keyakinan yang sama dalam peranan seni dalam membentuk pendapat, memupuk nilai dan mempengaruhi tingkah laku masyarakat.
“Galeri Petronas ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan, seniman, kurator, rakan dan penyokong yang terus memberikan inspirasi selama 28 tahun dalam merealisasikan peranannya untuk memperkayakan kehidupan dan mempromosikan kepemimpinan pemikiran melalui seni,” menurut galeri berkenaan
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.