Rahsia kuih bakar sabak ‘rel kereta api’
PULAU SEBANG 3 MEI – Bukan semua peralatan moden akan menjadi pilihan, terutamanya bagi sesetengah mereka yang membuat sendiri kuih-muih tradisional resepi nenek moyang peninggalan zaman berzaman.
Itulah yang dibuktikan pasangan suami isteri, Hamsi Nabu, 70, dan Siti Normah Ahmad, 65, yang masih gagah ‘bertarung’ dengan asap dan bahang bara api kayu pokok getah demi menjaga keenakan kuih bakar dihasilkan sejak 45 tahun lalu.
Tidak setakat itu, dapur atau sabak yang digunakan pula, direka khas dan telah digunakan sejak tiga generasi keluarganya bermula pada 1976 oleh neneknya dikenali Siti sebelum diwariskan kepada ibunya, Endon Mahat.
Menariknya, bahagian atas sabak ditempah daripada seorang tukang besi di Tampin, Negeri Sembilan dengan rekaan beroda dan bergerak di atas rel, menjadikannya seakan rel kereta api sehingga mendapat jolokan ‘kuih bakar rel kereta api’ dalam kalangan pelanggan tetapnya.
Bahagian beroda yang boleh diluncurkan itu sebenarnya adalah tempat diletakkan bara kayu pokok getah yang menjadi ‘pintu’ sabak menempatkan 20 acuan tembaga memasak kuih bakar.
Apabila ianya ditutup, bara akan membakar bahagian atas kuih, manakala di bahagian bawah sabak juga terdapat bara yang akan memastikan kuih berkenaan dimasak sempurna selama kira-kira 20 minit.
“Bukan tidak ada ketuhar moden di pasaran yang lebih mudah dan jimat, tapi biarlah kami meneruskan tradisi tiga generasi ini bagi mengekalkan keaslian penghasilan Kuih Bakar Popular Warisan Endon berbanding kuih bakar di tempat lain.
“Sebenarnya keunikan kuih tradisional ini adalah kerana ianya memiliki dapur dan aturan tertentu yang perlu dipatuhi untuk memastikan juadah itu betul-betul ‘menjadi’.
“Menggunakan bara api dari pokok kayu pokok getah misalnya akan menjadikan ramuan itu lebih sebati, rangup diluar tetapi lembut di dalam berbanding api dihasilkan daripada kayu pallet,” katanya ketika ditemui di sabak memproses kuih tradisional itu yang terletak di rumahnya di Kampung Kuala Ina, di sini.
Ditanya mengenai apakah resepinya sehingga ia terus mempunyai penggemar tersendiri sejak hampir setengah abad, Siti Normah berkata, tiada apa yang dirahsiakan dan hanya menggunakan adunan bahan-bahan asas seperti iaitu tepung gandum, pati daun pandan, santan, gula pasir, telur dan jintan manis.
“Mula-mula dulu arwah nenek pakai telur itik, tapi sekarang harga sebiji telur itik pun dah RM1. Bahan-bahan lain pun tak murah macam dulu sedangkan sebiji kuih bakar yang saya jual ini RM2 sahaja.
“Masa ibu mengusahakan kuih ini daripada nenek, jualan kuih bakar boleh mencecah sehingga 500 biji sehari dan pada waktu saya dan suami pun walaupun tidaklah sebanyak itu, sambutan diterima masih baik.
“Bagaimanapun sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 tahun lalu, tempahan merosot sedikit demi sedikit sekitar 180 ke 200 biji sahaja sehari,” katanya.
Namun menurut Siti Normah, biarpun penat kerana mengekalkan kaedah ‘lama’ untuk menghasilkan kuih bakar berkenaan, ia memberikan kepuasan tidak terhingga kerana dapat meneruskan tradisi turun temurun itu.
Malah satu hal yang menggembirakan dia dan suami adalah apabila pembuatan Kuih Bakar Popular Warisan Endon menggunakan sabak ‘rel keretapi’ itu akan diwariskan pula kepada anak lelakinya yang sudahpun mempelajari cara pengendalian sabak tiga generasi itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.