Sorting by

×

Saling percaya asas kesefahaman UMNO dan PAS Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERKAM 3 Mei. – Kesepakatan dan saling percaya antara UMNO dan PAS Melaka menjadi teras kekuatan Muafakat Nasional (MN) dalam membentuk persefahaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kedua-dua parti itu akan terus menggerakkan pelbagai program bagi menterjemahkan muafakat antara UMNO dan PAS demi memastikan kedua-dua parti itu melakar kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, sebagai menunjukkan sokongan penuh kepada pucuk pimpinan parti PAS, UMNO turut akan mempertimbangkan jawatan sokongan yang bertindak sebagai penggerak masyarakat, namun perkara itu akan diumumkan sedikit masa nanti.

“Kita dengan PAS di Melaka akan terus bersama sebab suasana politik di Melaka tidak sama dengan negeri lain.

“Kesepakatan UMNO dan PAS di negeri ini jauh lebih baik antara kami kerana kami membentuk satu kekuatan berdasarkan saling percaya dan mempercayai untuk meneruskan muafakat di semua peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa MN negeri di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam di sini, malam tadi,

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamaruddin Sidek serta kira-kira 300 pewakilan bagi kedua-dua parti di setiap bahagian dan cawangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata hubungan yang terjalin antara kedua-dua parti itu tidak memerlukan perjanjian sebagaimana ditunjukkan negeri lain kerana kesefahaman UMNO dan PAS jauh lebih baik.

“Termetrinya perjanjian (hubungan baik) itu adalah kerana kedua-duanya mesti ada ‘convenient of both party’ (kesefahaman antara kedua-dua parti).

“Antara PAS dan UMNO, kita tidak perlukan perjanjian kerana kita sudah berada pada taraf persefahaman yang jauh lebih baik,” katanya.

KAMARUDDIN… pendirian PAS negeri kekal mengikut PAS pusat yang mahu terus memperkasakan MN dan pada masa sama mendukung kerajaan PN.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata pendirian PAS negeri kekal mengikut jejak PAS di peringkat pusat yang mahu terus memperkasakan MN dan pada masa sama mendukung kerajaan Perikatan Nasional.

“Kita tidak boleh menafikan Perikatan Nasional, tetapi dalam konteks ini hubungan kita bersama Muafakat Nasional masih berterusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post Lima sekeluarga cedera kereta dihempap pokok tumbang
Next post Ibu tunggal cekal sambut Aidilfitri tanpa suami
Ubah saiz-+=