Lima premis dipotong bekalan elekrik, disyaki jalankan judi haram

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MELAKA 30 April. – Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini bertindak memotong bekalan elektrik di lima premis yang sebelum ini pernah dikenakan tindakan kerana disyaki meneruskan kegiatan perjudian haram, dalam operasi di sekitar daerah Melaka Tengah di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua premis itu dipercayai menjalankan aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen serta tambah nilai untuk berjudi.

“Operasi yang bermula 10 pagi itu membabitkan premis di Batang Tiga, Batu Berendam, Bandar Hilir dan Ayer Keroh bertujuan mengekang kegiatan perjudian haram dan memastikan supaya premis tidak beroperasi semula.

“Kesemua premis itu pernah diambil tindakan sebelum ini mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 namun masih lagi berdegil,” katanya dalam kenyataan.

Afzanizar berkata, sejak awal Januari hingga kini sebanyak 35 premis di sekitar daerah itu telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen niaga mereka bagi menjalankan kegiatan haram itu.

“Kami harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan judi haram di persekitaran mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post Sembilan warga China ditahan dalam Op Pelican
Next post Mayat wanita ditemui terkunci dalam MPV
Ubah saiz-+=