SOP Aidilfitri, rentas daerah dijangka diumum minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 30 April. – Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan dijangka memutuskan beberapa perkara berkaitan sambutan Hari Raya antaranya prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri dan rentas daerah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP yang bakal dikeluarkan itu berdasarkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hari ini Jawatankuasa Teknikal akan berbincang, kemudian ia akan dibentangkan dalam sidang khas MKN pada Isnin ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas ia dibentangkan (sidang khas MKN) barulah kami boleh memutuskan sebarang keputusan dan kami akan mendengar pembentangan KKM mengenai nasihat yang akan diberikan,” katanya.

 

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Program e-Bakat antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) bersama Mgate Emerging Technologies Sdn Bhd dan HRD Corp di Kem Kementah, di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 12,000 suri rumah kepada anggota tentera disasar menyertai program Bakat untuk menjana pendapatan.

Beliau berkata Bakat mengambil inisiatif dengan tujuan untuk memberi peluang kepada isteri angkatan tentera yang tidak bekerja mempelajari kemahiran dan menjana pendapatan keluarga.

“Mereka akan dilatih untuk membuat produk, memasarkan produk dan menjual produk berkenaan.

“Malah pendekatan yang diambil ini bukan sahaja akan menambahkan sumber pendapatan keluarga mereka secara tidak langsung tetapi ia akan menjadi kerja sampingan untuk anggota tentera yang akan berpencen nanti,” katanya.

Program itu adalah sebuah program yang dirangka di bawah Program Transformasi Bakat iaitu Pembangunan Ekonomi Keluarga bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan ahli Bakat untuk membentuk mereka menjadi usahawan berjaya melalui perancangan dan platform yang sistematik.

Selain itu, ia juga bertujuan memperkasakan mereka melalui pembangunan modal insan yang teratur dan berpotensi tinggi dalam menjana pendapatan tambahan sekeluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post Hamzah sahkan suara dalam audio tular adalah dirinya
Next post Tiga lelaki dituduh bunuh tukang masak
Ubah saiz-+=