Hamzah sahkan suara dalam audio tular adalah dirinya
PUTRAJAYA 30 April. – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan suara dalam audio yang tular berkaitan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah dirinya.
Menurutnya, kandungan percakapan dalam audio tersebut bukanlah satu kesalahan kerana beliau hanya meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi senarai nama untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hamzah berkata tindakan itu adalah selaras dengan tugasnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan menyelaras tugas-tugas pegawai polis.
“Itu adalah suara yang benar oleh saya dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Yang salahnya adalah orang yang rekod perbualan saya dengan seseorang… itu satu kesalahan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di sini hari ini.
Tular di laman sosial rakaman audio dengan suara mirip Hamzah yang antaranya membincangkan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM.
Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran audio itu, Hamzah berkata tiada keperluan untuk beliau membuat laporan itu.
Sementara itu, Hamzah mengingatkan pengguna media sosial agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang rakyat terhadap PDRM.
“Sejak akhir-akhir ini, saya hairan kenapa ada perkara tidak disenangi yang dikeluarkan oleh macam-macam kumpulan yang ada di negara kita (terhadap PDRM),” katanya.
Mengenai siapa yang akan memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu, beliau berkata perkara tersebut akan diputuskan oleh SPP dalam masa terdekat.
Terdahulu Hamzah mengumumkan, Acryl Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.
Pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada 3 Mei ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.