Hasil tangkapan ikan dan udang merosot, belangkas selamatkan nelayan
TANJUNG BIDARA 30 April. – Nelayan pinggir pantai di Melaka barat terpaksa menjadikan belangkas sebagai alternatif utama berikutan jumlah tangkapan ikan dan udang merosot sejak tiga bulan lalu.
Kekangan kewangan dihadapi mereka akibat kekurangan tangkapan ikan dan udang ditampung hasil belangkas yang ditangkap pada musim arus dasar laut berubah menjadi kuat atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘air besar.’
Ibrahim Md Isa, 67, berkata dia terpaksa menjadikan belangkas sebagai alternatif sumber rezeki berikutan kemerosotan jumlah tangkapan ikan dan udang akibat perubahan angin.
“Apabila angin kerap berubah seperti angin barat, selatan, betara dan barat daya, ikan semakin hilang berbanding jika hanya satu jenis angin kekal dalam tempoh yang lama.
“Saya membuang jaring udang di pinggir pantai jam 7.30 pagi dan apabila ditarik naik, hanya ada tiga ekor udang tetapi nasib baik ada belangkas,” katanya ketika ditemui di pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara kemarin.
Beliau berkata, belangkas dikira melalui jumlah kuantitinya berbanding ikan dan udang dijual mengikut berat.
Katanya, seekor belangkas boleh dijual pada harga antara RM5 hingga RM9 tetapi hanya belangkas betina yang mempunyai telur mampu mendapat tempat dalam kalangan peraih.
“Ini kerana telur berkenaan dijadikan bahan makanan utama bagi penggemar makanan laut, selain isinya yang lazat jika dimasak dengan cili padi,” katanya.
Adik Ibrahim, Abu Noh, 65, berkata, belangkas hanya boleh ditangkap ketika ‘air besar’ dan amat sukar untuk diperoleh pada musim arus dasar laut bertukar menjadi perlahan atau lebih dikenali sebagai ‘air bani.’
“Beginilah nasib nelayan, ada kalanya tangkapan memuaskan dan ada kalanya hasil tangkapan amat kurang hinggakan kos petrol enjin motor sangkut pun tak boleh lepas,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak pernah merungut walaupun tiada tangkapan diperoleh kerana segalanya adalah rezeki anugerah Tuhan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.