Polis Besut wujudkan ‘food bank’ untuk golongan kurang berkemampuan
BESUT 29 April. – Prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan terutama ketika penularan pandemik COVID-19 ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut mengambil inisiatif mewujudkan ‘food bank’ bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan keperluan asas secara percuma.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata melalui inisiatif yang bermula semalam itu, membolehkan golongan itu mendapatkan bekalan asas seperti beras, gula dan susu di satu ruangan khas yang ditempatkan di luar pagar IPD.
“Barangan keperluan asas yang disediakan itu adalah sumbangan pegawai dan anggota IPD Besut. Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbang sebarang keperluan asas (barangan kering) untuk ‘food bank ini’ manakala sekiranya ingin menyumbang wang tunai untuk kami membeli barangan tersebut mereka boleh berurusan dengan pihak pentadbiran IPD.
“Golongan yang kurang berkemampuan boleh datang mengambil barangan di situ mengikut keperluan bermula 10 pagi hingga 5 petang setiap hari,” katanya ketika melancarkan ‘food bank’ tersebut di IPD Besut dekat Kampung Raja, di sini hari ini.
Katanya inisiatif ‘food bank’ ini akan berterusan sepanjang penularan pandemik COVID-19 atau selagi masih ada yang ingin menyumbang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.