Warga emas terima suntikan vaksin perlu terus patuhi SOP- Dr Noor Hisham
PUTRAJAYA 29 April. – Warga emas yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan mereka masih berisiko untuk dijangkiti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata meskipun telah divaksinasi, warga emas perlu menggunakan pelitup muka apabila keluar rumah serta mengamalkan penjarakan fizikal kerana vaksin berkenaan berkesan selepas dua minggu suntikan dos kedua.
“Mereka (warga emas) divaksinasi ini masih boleh dijangkiti. Oleh itu, disarankan untuk terus patuh kepada SOP dan elakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, elakkan kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat,” katanya.
Dr Noor Hisham sebelum ini memaklumkan 40 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti selepas lebih dua minggu menerima dos kedua sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang dua minggu selepas inokulasi.
Dr Noor Hisham berkata mereka yang dijangkiti selepas divaksinasi hanya mengalami gejala ringan selain ia tidak membawa mudarat dan mampu menyelamatkan nyawa.
“(Vaksin) memberi perlindungan dalaman manakala pematuhan SOP akan memberikan perlindungan luaran daripada dijangkiti COVID-19,” katanya.
Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan memberi keutamaan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi yang memiliki sejarah penyakit kronik bermula 19 April.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.