138 penghuni Villa Harapan ceria terima sumbangan Ramadan
DUYONG 29 April. – Syarikat konsesi pembersihan dan pengurusan sisa pepejal, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) tampil menyantuni golongan rentan dan mereka yang kurang bernasib baik menerusi program SWM Kasih Santun Ramadan bertempat di Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan, Duyong, semalam.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 138 penghuni Villa Harapan disantuni dalam majlis itu yang bertujuan mendekati serta memberi keceriaan kepada golongan kurang bernasib baik.
Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment itu adalah yang kedua dianjurkan pihaknya pada Ramadan ini selepas program Kembara Sahur bersama petugas barisan hadapan sebelum ini.
“Menjadi tradisi tahunan SWM Environment menghulurkan bantuan kepada komuniti setempat terutamanya menjelang musim perayaan.
“Mengambil semangat bulan Ramadan yang mulia, kali ini SWM Environment memberi fokus kepada golongan gelandangan, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit mental di Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan.
“Melalui program mendekati masyarakat ini, sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa masih ada pihak yang mengambil berat terhadap kebajikan mereka.
“Sumbangan barangan keperluan harian serta pek makanan berbuka, yang diberikan juga diharap dapat membantu meringankan beban Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan untuk menguruskan penghuninya,” katanya.
Hadir sama Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.
Dalam program itu kakitangan dan penghuni Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan turut diberi pendedahan mengenai amalan Pengasingan Sisa Di Punca serta pembudayaan amalan 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula).
Pertubuhan ini turut didaftarkan di bawah KITARecycle iaitu program kitar semula oleh SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.