Qari buta bertarannum curi perhatian ramai
PERINGGIT 26 April. – Cacat penglihatan bukan penghalang seorang pemuda meneruskan kehidupan sebatang kara tanpa menagih belas ihsan orang lain.
Bagi, Muhammad Rahmat Abdullah, 30, yang berasal dari Kuantan, Pahang kehilangan pancaindera penting sejak lahir bukan penghalang dia berhijrah ke negeri orang demi menonjolkan bakat biarpun tanpa sokongan keluarga kandung sendiri.
Tidak disangka, alunan merdu ‘Qari buta’ ini mencuri perhatian apabila Rahmat bertarannum di khalayak ramai sekali gus menjadi halwa telinga buat pengunjung yang membeli juadah di pasar Ramadan Peringgit, dekat sini.
Menggunakan al-Quran ‘Braille’ menjadi punca pendapatannya bertarannum menggunakan kaedah ‘busking’ kerana cara itu mampu mencungkil bakat dan bukan hanya sekadar ‘menadah tangan’.
“Pada awal pagi, saya ke Pasar Besar Bachang menaiki ‘Grab’ yang dipesan sendiri manakala sebelah petang sekitar jam 5 petang lokasi pasar Ramadan Peringgit pula menjadi tempat untuk meluahkan bakat yang ada.
“Saya bukan nak tunjuk yang saya pandai baca al-Quran tapi apa bakat yang ada saya lontarkan agar masyarakat tahu golongan seperti saya ini mampu berdiri di tapak kaki sendiri dan bukan hanya sekadar memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Pangsapuri Kampung Padang, di sini hari ini.
Dia yang mencintai bacaan al-Quran mencebur diri dalam pelbagai pertandingan tilawah al-Quran sejak berusia 10 tahun dan merantau ke beberapa negeri antaranya Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur untuk berdikari dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.
“Apabila menetap di Melaka sejak tahun lalu saya kini mempunyai keluarga angkat yang mengambil berat berkaitan kehidupan saya, malah ramai juga rakan-rakan yang membantu bagi menyokong setiap apa yang saya lakukan tanpa mengharapkan bantuan orang ramai.
“Pernah juga dihalau dan dikasari ketika mengaji al-Quran di khalayak ramai, bagaimanapun saya tetap beranikan diri dan bernekad bahawa bukan mudah untuk mencari rezeki.
“Pernah juga terfikir mengapa saya hidup di dunia ini, bagaimanapun saya kuatkan diri bahawa selagi mampu untuk berusaha saya akan teruskan biarpun dicemuh dan dihina di atas kekurangan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.