Pendapatan RM30,000 dengan hanya jual kuih tradisi
SUNGAI RAMBAI 26 April – Usianya baru mencapai 28 tahun namun mampu meraih pendapatan lumayan sehingga RM30,000 sebulan dengan hanya menjual kuih tradisi di pasar Ramadan dan atas talian (online).
Itulah yang dilakukan oleh Siti Nur Ismail sejak lebih lima tahun lalu yang hanya menjual kuih tradisi seperti kuih seri muka durian, kuih boko ubi, kuih talam kacang, kuih koci dan badak berendam di sebuah bengkel membuat kuih dekat Sungai Rambai.
Anak kelahiran Parit Penghulu itu hanya bermodalkan ilmu rahsia membuat kuih tradisi dari nenek, Mariam Arshad, 67, selain mempunyai minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan.
Disebabkan itu, Siti Nur melupakan hasrat bekerja makan gaji sebaik sahaja menamatkan pengajian di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang dalam jurusan kulinari dan menyambung legasi membuat kuih yang diusahakan nenek secara kecil-kecilan di rumah ketika itu.
“Saya amat menyukai kerja membuat kuih yang dilakukan nenek dan mula mengikuti jejaknya sejak saya masih bersekolah menengah lagi dan selepas tamat pengajian, saya terus fokus menyambung kerja nenek sehinggalah ke hari ini.
“Perusahaan nenek kemudiannya saya modenkan dan saya letak label Kuih Tradisi yang bermaksud, kuih-kuih ini adalah warisan orang Melayu dan sebagai generasinya, kita harus menjaga kualiti dan rasanya yang asli.
“Sebab itu, Kuih Tradisi, rasanya sangat asli kerana tidak menggunakan santan yang diproses sebaliknya kita guna santan asli dari kelapa yang kita tanam sendiri di kampung termasuk juga dengan gula, ia bukan gula dari kedai biasa kerana kita guna gula merah khas sebab itu rasanya asli bukan semata-mata rasa manis sahaja,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini baru-baru ini.
Maka, disebabkan rasa asli, Siti Nur mempunyai kelompok pelanggan yang besar sama ada yang biasa memesan kuih melalui talian atau pelanggan tetap yang membeli di pasar Ramadan Merlimau sejak lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, dalam sehari berniaga di pasar Ramadan Merlimau, dia menyiapkan 500 pek Kuih Tradisi untuk dijual di situ dan ianya habis terjual dengan jualan RM3 satu pek.
“Alhamdulillah, walaupun pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, jualan Kuih Tradisi tetap mendapat sambutan walaupun hanya menjual secara online dan ada juga pelanggan datang ke rumah dari Melaka dan sekitarnya,” ujarnya.
Kata Siti Nur, dia merasa bangga kerana dapat mengusahakan perniagaan kuih tradisi yang diwarisi oleh neneknya itu dan mampu menikmati pendapatan lumayan setiap bulan walaupun tidak pernah merasai pengalaman bekerja makan gaji seperti rakan sebayanya yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.