Sorting by

×

800 ‘rider’ GrabFood mencarum SPS Lindung

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 25 April – Pakej perlindungan Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung yang diperkenalkan kerajaan dengan inisiatif bantuan caruman secara percuma selama setahun berjaya meningkatkan pendaftaran penghantar makanan dan barangan di negeri ini.

Penasihat GrabFood negeri, Faizalazhar Jamaludin berkata, menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diperkenalkan kerajaan pada awal tahun ini, hampir 80 peratus daripada kira-kira 1,000 penghantar makanan dan barangan syarikat GrabFood di negeri ini sudah mencarum perlindungan itu.

Katanya, ramai penghantar makanan dan barangan atau ‘rider’ ini mulai sedar akan kepentingan mendapatkan perlindungan bencana kemalangan selepas mengambil iktibar menerusi beberapa insiden kemalangan yang membabitkan golongan itu.

“Memang saya nampak trend kesedaran tu meningkat selepas SPS Lindung diperkenalkan dan hanya tinggal baki 20 peratus sahaja rider GrabFood yang belum daftar.

“Kami juga ambil pengalaman apabila salah seorang rakan kita meninggal dunia selepas terlibat kemalangan dan meninggalkan isteri OKU dan anak, jadi PERKESO hadir untuk membantu dengan menyalurkan RM1,500 (menerusi skim itu) kepada keluarga rakan kita.

“Jadi, dari situ, kita tidak menjangka sebarang kemungkinan boleh berlaku di atas jalan raya dan dengan adanya SPS Lindung yang diperkenalkan kerajaan dengan caruman percuma selama setahun, ia mampu menjamin keluarga dan anak apabila rider ditimpa musibah sekali gus meningkatkan lebih ramai rider mencarum perlindungan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelepasan konvoi Kembara Ramadan Rider Grab Food negeri yang dilancarkan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ghazale Muhamad.

SPS Lindung adalah perlindungan di bawah SKSPS, PERKESO di mana kerajaan menyediakan bantuan caruman sepenuhnya kepada kumpulan sasaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika perbentangan 2021 dan mula dilancarkan sejak 1 Januari lalu dengan caruman bulanan sebanyak RM232.80

Mengulas lanjut, Faizalazhar berkata, usaha untuk menarik lebih ramai golongan itu mencarum skim terbabit akan terus dilaksanakan bagi menjamin kebajikan golongan itu dan keluarga masing-masing sekiranya ditimpa musibah.

Dalam pada itu, menerusi program terbabit sebanyak 150 rider GrabFood menyantuni 60 keluarga golongan kurang berkemampuan dengan menghantar kit makanan yang disumbangkan sendiri rider terbabit dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ghazale berkata, kerja amal yang dijalankan penghantar makanan dan barangan tersebut bagi membuktikan profesion itu adalah penting dalam mengisi keperluan masyarakat dalam kehidupan seharian.

“Walaupun profesion ini pada peringkat awal dipandang remeh oleh masyarakat tetapi akhir-akhir ini, orang ramai memang memerlukan perkhidmatan ini bagi keperluan pengisian kehidupan seharian.

“Saya harapkan penghantar makanan ini menjadi satu profesion yang baik di masa yang akan datang, walaupun peringkat awal masyarakat kita pandang remeh kepada kehadiran mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Polis sita kereta Kancil kuning tular
Next post Tiada ‘bonus’ raya buat penjawat awam, pesara di Melaka – KM
Ubah saiz-+=