Pemutar kepala paip terbenam dalam perut
MERLIMAU 22 April – Seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di sini terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit selepas perutnya tertusuk pemutar kepala paip air dipercayai akibat terjatuh ketika sedang bermain malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 8.42 malam sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati kepala paip tembaga berbentuk T terbabit tertusuk di bahagian kanan perut berhampiran pusat pelajar lelaki berusia 14 tahun itu.
“Pasukan bomba kemudian bertindak memotong batang paip pili berkenaan menggunakan pemotong khas yang mengambil masa kira-kira lima minit sebelum operasi terkawal pada jam 9.05 malam.
“Mangsa berusia 14 tahun kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan ambulans yang tiba sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mengeluarkan pemutar kepala paip berkenaan,” katanya.
Sementara itu, warden pusat tahfiz berkenaan, Muhammad Muaz Abd Razak, 23, berkata, ketika kejadian, dia dan pelajar serta guru lain sedang menunggu waktu solat Isyak selepas berbuka puasa.
“Tiba-tiba, sekumpulan pelajar berlari ke arah saya sambil menjerit mengatakan perut pelajar berusia 14 tahun itu cedera akibat tertusuk batang paip.
“Dalam keadaan cemas, saya berlari ke arahnya dan terkejut apabila mendapati pemutar kepala paip tembaga sudah tertusuk di bahagian kanan perutnya sehingga menampakkan bahagian lemak yang terkeluar.
“Bagaimanapun, tiada sebarang pendarahan dan pelajar berkenaan juga tenang kecuali menangis menahan sakit apabila pemutar kepala paip berkenaan terbenam bawah lapisan kulit perutnya.
Menurut guru Bahasa Arab berkenaan, dia difahamkan sebelum kejadian, pelajar berkenaan bersama lima pelajar lain sebayanya sedang bermain di atas tembok setinggi kira-kira satu meter sebelum tergelincir.
“Paip air untuk mengambil wuduk berkenaan pula dipasang pada tepi tembok berkenaan mengakibatkan ia tertusuk pada perut pelajar terbabit.
“Namun pihak sekolah bersyukur kerana keadaan pelajar berkenaan dilaporkan stabil dan ibu bapa pelajar terbabit juga telah dimaklumkan mengenai kemalangan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.