Syukur terima sumbangan kit makanan dari MPHTJ
AYER KEROH 22 April. – Seramai 30 individu kurang berkemampuan membabitkan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Hang Tuah Jaya ceria menerima sumbangan kit makanan, wang tunai dan pakaian percuma dalam program Sumbangan Aidilfitri 2021.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman dalam majlis ringkas di Melaka Mall, di sini, hari ini.
Seorang penerima, Zailani Puteh, 47, berkata, dia terharu mendapat bantuan itu yang sedikit-sebanyak meringankan beban keluarganya ketika musim pandemik COVID-19 ini, apatah lagi dia kini kehilangan pekerjaan sebagai pemandu lori.
Katanya, mereka sekeluarga kini bergantung harapan kepada anak sulung dalam meneruskan kehidupan.
“Buat masa ini saya hanya menjaga isteri yang lumpuh separuh badan sejak setahun lalu. Syukur dan terima kasih atas bantuan ini.
“Menerusi program anjuran MPHTJ kali ini turut memberi pakaian percuma kepada penerima. Alhamdulillah, lega hati saya melihat anak dapat memilih pakaian percuma di Charity Outlet ini untuk Syawal nanti,” katanya yang menetap di Batu Berendam.
Jantan Limal, 68, turut meluahkan rasa syukur atas pemberian kit makanan dan wang tunai menerusi program itu.
“Akhirnya pada bulan mulia tahun ini dapat juga saya merasa sumbangan seperti ini yang membantu saya yang hanya bekerja sendiri di kampung.
“Terima kasih kepada MPHTJ dan semua yang ambil berat terhadap nasib golongan asnaf seperti kami,” katanya.
Dalam pada itu Shadan berkata, program sumbangan itu merupakan program tahunan pihaknya bagi membantu dan menceriakan golongan kurang bernasib baik menyambut Aidilfitri.
“Ini merupakan program tahunan buat mana-mana perayaan yang diraikan setiap tahun bagi membantu golongan yang bekeperluan.
“Dalam pada itu bagi menjunjung hasrat ini kita mengharapkan mana-mana syarikat besar yang memerlukan platform untuk menyerahkan sumbangan, MPHTJ sedia membantu mereka agar ia terus diterima kepada golongan sasaran,” katanya.
Program bantuan anjuran (MPHTJ) itu turut mendapat kerjasama Pasaraya Mydin dan Mamee Double Decker (M) Berhad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.