20 NGO serah memorandum bantah iklan judi raya kepada Zahidi

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 22 April. – Sekumpulan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini, menyerahkan memorandum bantahan iklan judi raya dalam talian kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Memorandum berkenaan yang meminta kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap operator judi haram itu, diserahkan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan kepada Zahidi di pejabatnya di Angkasapuri.

Sementara itu Zahidi berkata, judi dalam talian tidak mudah untuk dipadamkan begitu sahaja kerana melibatkan aplikasi antarabangsa.

“Judi dalam talian tidak boleh dipadam begitu sahaja, sebab di negara kita ni aplikasi judi dan porno kalau dipadam, akan naik semula, ini adalah aplikasi antarabangsa.

“Kita sukar nak kawal kerana ‘server’ nya di luar negara, pemainnya juga di luar negara, di India, Filipina, China dan pelbagai negara, tetapi bermain judi di Malaysia,” katanya dan menambah negara memerlukan sistem untuk mengawal aktiviti itu.

Sementara itu, di lokasi sama, Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memartabatkan industri penulisan dan penerbitan tanah air, serantau dan global, khususnya komuniti pengarang dan penerbit beragama Islam.

MoU itu ditandatangani Zahidi selaku Pengerusi Eksekutif IKIAM dan Ketua Pengawai Eksekutif IKIAM Musa Mahmod bersama Pengarah Eksekutif YPBN Dr Hasan Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Maimunah Abu Bakar.

Menerusi kenyataan bersama, YPBN dan IKIAM memaklumkan kerjasama itu bagi menyokong usaha kerajaan dan masyarakat, dalam memupuk minat membaca serta menulis menerusi teknologi internet dan penyiaran digital.

“Kerjasama YPBN-IKIAM akan menyalurkan buku, karya adaptasi drama, filem dan dokumentari sarjana Islam, memasuki pasaran dunia berbanding sebelum ini hanya berkembang di peringkat setempat masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

621
Kongsi :
Previous post Kompaun sekolah jika abai SOP, cetus kluster baharu
Next post Dua juta penjawat awam dan pesara terima bantuan Aidilfitri
Ubah saiz-+=