Sorting by

×

Keli salai perencah rahsia digemari ramai

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER LIMAU 21 April – Ikan keli salai yang dihasilkan melalui penggunaan ‘perencah rahsia’ sepasang suami isteri, habis dilanggan setiap petang di Bazar Ramadan Pekan Lubok Cina, dekat sini.

Meskipun penyediaan ikan keli salai meletihkan Kamarudin Ahmad, 53, dan isteri, Junidah Abdul Rahman, 51, sentiasa mengutamakan kualiti masakan disediakan demi memberi kepuasan kepada pelanggan.

Kamarudin berkata, pada setiap pagi, seorang penternak ikan keli dari Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah menghantar 20 kg ikan keli yang sudah siap disiang ke warungnya di pekan Lubok Cina, di sini.

“Setiap jam 3 petang saya dengan dibantu abang ipar, Hamid Abdul Rahman dan rakan, Zulkifli Mat Dali menyalai ikan dengan menggunakan bara yang dihasilkan melalui pembakaran dahan pelbagai jenis pokok, terutama pokok durian.

“Saya tidak menyalai ikan keli di Bazar Ramadan Pekan Lubok Cina kerana sukar untuk mengangkut dapur salai dari warung ke bazar itu.

“Semasa menyalai ikan kami memastikan api tidak terlalu besar, sebaliknya cukup sekadar menggunakan bara kerana jika api terlalu besar, ikan masak terlalu cepat dan ada antaranya mentah,” katanya ketika ditemui di warungnya.

IKAN keli salai mendapat sambutan pelanggan di sekitar Lubok Cina, Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Menurutnya, semasa menyalai juga mereka akan memastikan semua bahagian ikan terkena bahang bara bagi mengelakkan makanan berkenaan kehilangan kelazatannya.

Kamarudin berkata, mulai jam 4 petang dia dan isteri sudah mula berniaga di bazar berkenaan dan lazimnya, ikan keli salai yang dijual pada harga RM4.50 seekor sudah mula dipesan pelanggan.

“Lazimnya 120 ikan keli salai yang diniagakan, habis dilanggan dalam tempoh dua jam, selain beberapa jenis lauk-pauk yang turut disediakan untuk pelanggan, habis dilanggan,” katanya lagi.

Selain kunyit dan garam, mereka turut menggunakan perencah rahsia yang menjadikannya sentiasa dinantikan pelanggan pada setiap petang Ramadan.

Katanya, bagi memenuhi permintaan, kadang kala dia dan isteri turut menyediakan itik dan daging salai pada hujung minggu kerana jumlah pelanggan meningkat berbanding hari biasa.

“Itik dan daging salai, masing-masing dijual pada harga RM5 dan RM7 bergantung pada saiz,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2066
Kongsi :
Previous post Beri ruang, peluang skuad Projek FAM-MSN pamer ‘taring’- Kim Swee
Next post Aidil Zafuan sedia kongsi pengalaman dengan pemain muda
Ubah saiz-+=