220 usahawan sertai ‘Warna-warni Aidilfitri’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR 20 April. – Seramai 220 usahawan menyertai promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 (WWA 2021) bermula 15 April lalu hingga 2 Mei depan bagi memberi peluang kepada mereka memasarkan produk kraf dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, 100 usahawan menyertai promosi tersebut di Kompleks Kraf Kuala Lumpur manakala 120 lagi di lapan lokasi pusat beli-belah terpilih di beberapa negeri.

NANCY berucap melancarkan promosi Warna-Warni Aidilfitri (WWA) 2021 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Foto Facebook MOTAC.Ini termasuk East Coast Mall di Pahang, KTCC Mall (Terengganu), AEON Mall Kuching (Sarawak), AEON Mall Kinta City (Perak), AEON Mall Nilai @ Seremban 2 (Negeri Sembilan), MYDIN Mall Bertam (Pulau Pinang), Freeport A’Famosa Outlet (Melaka) dan One Utama Shopping Centre (Selangor).

Nancy berkata promosi sebegitu perlu dilakukan secara aktif dan konsisten bagi meningkatkan kesedaran pengguna bahawa produk kraf tidak hanya relevan untuk kegunaan dan golongan tertentu sebaliknya bersifat universal.

“Saya menyeru kepada usahawan kraf untuk terus cekal, bersemangat serta berdaya saing dalam menghasilkan serta memasarkan produk kraf melalui apa jua kaedah dan saluran,” katanya pada sidang media WWA 2021, di sini semalam.

“Terokai dan gunakan kaedah platform digital yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia seperti E-Kraf Bazar dan MYCRAFTSHOPPE agar usahawan kraf memperoleh manfaat terutamanya untuk jangka masa panjang,” tambah Nancy.

NANCY (kiri) diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail mengenai produk kraf yang dipamerkan. Foto Facebook MOTAC.

WWA 2021 anjuran Kraftangan Malaysia membawa tema ‘Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti’ yang menonjolkan kemeriahan sambutan melalui kreativiti dan idea baharu sesuai dengan persiapan menyambut hari lebaran.

Ia dibuka bermula 10 pagi hingga 6 petang (Isnin – Khamis) dan 10 pagi hingga 10 malam (Jumaat – Ahad) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Antara pengisian sepanjang promosi itu ialah jualan produk kraf dan produk perkhidmatan Hari Raya Aidilfitri, pameran, demonstrasi kraf, interaktif kraf, demonstrasi masakan dan kuih tradisional serta pelbagai pertandingan lain, serta bazar Ramadan bagi menyediakan kemudahan ruang berbuka puasa kepada pengunjung.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.motac.gov.my serta sosial media rasmi Kraftangan Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1088
Kongsi :
Previous post 19 sekolah diarah tutup di Selangor akibat COVID-19
Next post PSG juara Champions League?
Ubah saiz-+=