Sistem berkupon pertingkat SOP penganjuran pasar dan bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MASJID TANAH 20 April. – Beberapa penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian bazar dan pasar Ramadan akan dinilai semula bagi memperketatkan kawalan yang dikenakan kepada orang ramai khususnya peniaga di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, perkara terbabit akan dibincangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 tidak lama lagi membabitkan pihak terlibat terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

SULAIMAN (tengah) hadir di Majlis Perasmian Pasar Ramadan Masjid Tanah, di Tapak Pasar Ramadan Masjid Tanah.

“Hasil perbincangan saya dengan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, kita akan menambah baik sistem operasi perniagaan terbabit dengan mengenakan sistem kemasukan berkupon kepada orang ramai.

“Selain itu, kita juga akan menguat kuasa penjarakan antara gerai di setiap pasar dan bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan ia terus diperketat dengan SOP yang ditetapkan.

“Itu antara lima cadangan yang akan diusulkan dalam mesyuarat itu nanti bagi memastikan segala syarat SOP dipatuhi dalam pengoperasian pasar dan bazar sepanjang Ramadan ini,” katanya.

 

SULAIMAN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada peniaga sambil diperhatikan Ab Rauf (kiri) ketika melawat Pasar Ramadan Masjid Tanah.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bazar Ramadan Masjid Tanah di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Setiausaha Politiknya Datuk Wira Sazali Muhd Din; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan.

Dalam lawatannya di pasar terbabit, beliau yang disertai isterinya Datin Seri Utama Munira M. Yusop berpuas hati terhadap SOP yang dikenakan di pasar berkenaan dan terus menasihati orang ramai agar mematuhi setiap saranan terutama penjarakan fizikal.

“Seperti kita lihat penganjuran pasar Ramadan tahun ini berbeza dengan tahun tahun terdahulu kerana ia saiz tapaknya agak kecil walaupun pasar ini diyakini merupakan pasar Ramadan kedua terbesar di Melaka sebelum ini.

“Perkara ini disebabkan penjarakan antara gerai telah dikuat kuasa di pasar Ramadan ini menyebabkan hanya 150 gerai saja dibenar beroperasi berbanding sebelum ini mencecah sehingga 300 gerai.

“Namun ia tetap menerima sambutan pengunjung dan kita ingatkan rakyat agar mempunyai kesedaran bagi memastikan setiap SOP dipatuhi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

527
Kongsi :
Previous post Sulaiman kongsi pengalaman jual lauk di Pasar Ramadan Masjid Tanah
Next post 320 individu terima bantuan kit makanan, wang tunai
Ubah saiz-+=