Tiada pilihan, pembeli akur harga ayam naik

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SEMABOK 19 April. – Situasi kenaikan harga ayam yang berlaku di seluruh negara termasuk di Melaka ketika ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan pembeli.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-rata pembeli terpaksa akur dengan kenaikan harga ayam memandangkan peniaga turut ‘tersepit’ ekoran harga bahan mentah itu yang semakin meningkat.

Bagi Azhar Mohd Noor, 40, sebagai pembeli dia memahami situasi yang dihadapi peniaga yang mendapat bekalan ayam daripada ‘orang tengah’ atau pembekal.

AZHAR… faham situasi yang dihadapi peniaga.

“Saya lihat harga ayam naik RM2 sehingga RM3, malah kini mencecah lebih RM9 bagi sekilogram.

“Kita pembeli pun kena faham juga keadaan pasaran macam mana, setakat ini harga seekor ayam lebih kurang RM14 jadi okay lagi, tapi kalau sampai RM20, saya pun tak nak beli,” katanya.

Sementara itu, peniaga sate Hassan Ibrahim, 57, berkata dia turut terkesan dengan keadaan itu kerana perlu mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut hampir setiap hari.

“Kita pun buntu dan tiada pilihan lain, kita terpaksa mengekalkan harga jualan RM0.70 bagi secucuk sate walaupun harga ayam yang terus meningkat saban hari.

“Jadi saya harap pemantauan yang berterusan perlu dibuat pihak berkaitan bagi mengelakkan peniaga mahupun pembeli terkesan,” katanya.

HASSAN… turut terkesan dengan kenaikan harga ayam kerana perlu mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut hampir setiap hari untuk membuat sate.

Hassan meminta supaya perkara itu terus dipantau pihak berkenaan memandangkan perniagaannya terjejas semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

“Kita meniaga tetap sama bukan boleh naikkan harga, tapi ayam inilah yang menjadi masalah kepada kita.

“Pernah saya tanya peniaga kenapa harga ayam sekejap naik, sekejap turun, dia kata sebab pembekal, jadi kita nak cakap apa lagi dan terpaksa ikutkan saja,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

425
Kongsi :
Previous post Warga emas lebih 80 tahun ‘steady’ terima suntikan vaksin
Next post Kenaikan harga ayam disebabkan peningkatan kos makanan ternakan- Nanta
Ubah saiz-+=