KPDNHEP Melaka buka tiga kertas siasatan isu kenaikan harga ayam

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ALOR GAJAH 19 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka membuka tiga kertas siasatan ke atas tiga peniaga dan pemborong ayam yang disyaki menaikkan harga jualan ayam.

Siasatan itu membabitkan dua peniaga di Melaka Tengah dan satu pemborong di Jasin yang disyaki melakukan kesalahan itu menerusi Op Catut 8.0 (ayam) bermula 15 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ismail Othman berkata, tindakan dibuat selepas pemantauan dan siasatan menerusi susulan kes kenaikan harga ayam.

ISMAIL semasa sidang media selepas Op Catut 8.0 di Pasar Alor Gajah, hari ini.

Katanya, hasil pemantauan KPDNHEP negeri mendapati harga sekilogram ayam di Pasar Awam Pulau Sebang mencecah RM9.80, namun di pasar raya besar ayam standard dijual antara RM5.99 sehingga RM8.30 sekilogram.

“Menerusi Ops Catut 8.0 ini sebanyak enam notis juga telah dikeluarkan kepada pemborong dan penternak ayam yang disyaki mencatut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengikuti Op Catut 8.0 di Pasar Alor Gajah, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Muhamad Aizudin Mohd Said.

Ismail berkata, sehingga semalam KPDNHEP Melaka menerima 26 aduan berkaitan harga barang mahal di pasaran dan hanya satu melibatkan kenaikan harga ayam.

“Penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dan bekalan makanan di pasaran sentiasa mencukupi.

“Justeru kita minta supaya pengguna memuat turun aplikasi ‘Price Catcher’ dalam laman sesawang KPDNHEP untuk mengetahui harga terbaru barang yang dikemaskini pada setiap pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post M-WEZ: Masyarakat Kampung Portugis jangan ‘termakan’ provokasi
Next post Melaka sasar 70 peratus penduduknya divaksin menjelang Disember 2021
Ubah saiz-+=