M-WEZ: Masyarakat Kampung Portugis jangan ‘termakan’ provokasi
BUKIT KATIL 19 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengulangi pendiriannya bahawa pembangunan koridor ekonomi pesisir laut Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), tidak akan sama sekali mengabaikan kepentingan rakyat.
Ia termasuklah kepentingan komuniti Serani di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir yang sebelum ini didakwa bakal lenyap sekiranya projek itu dibangunkan sedikit masa lagi seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Sulaiman bagaimanapun menegaskan dakwaan itu sama sekali tidak berasas kerana beliau sebagai pemimpin negeri tidak akan sama sekali membuat keputusan yang akan merugikan negeri ini.
Justeru, beliau meminta masyarakat di Perkampungan Portugis tidak termakan sebarang provokasi pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya mendapatkan penjelasan sebenar daripada kerajaan negeri.
“Kalau kita wujudkan M-WEZ ini akan membuatkan gelaran Bandaraya Warisan Dunia UNESCO kita ditarik balik, saya pun tak akan buat. Tak mungkin saya atau Setiausaha Kerajaan Negeri sanggup kehilangan pengiktirafan itu.
“Semua projek pembangunan yang kita buat kita ambil kira daripada pelbagai sudut terutamanya membabitkan masyarakat setempat. Kerajaan tidak akan suka-suka buat sesuatu tanpa mengambil kira perkara yang penting seperti itu.
“Jadi, saya minta sangat agar (segelintir pihak) tidak bercakap mengenai M-WEZ tanpa melakukan kajian secara mendalam. Saya juga berharap rakyat negeri ini tidak mendengar provokasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat vaksinasi pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Melaka Tengah di Dewan Tun Ali Bukit Katil, dekat sini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menjelaskan pembangunan M-WEZ adalah penting bukan sahaja untuk merancakkan ekonomi negeri, bahkan ia juga selari dengan arus kemodenan semasa yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat negeri ini.
“Jangan bimbang, pantai dan laut masih ada lagi walaupun kita jalankan projek itu. Kita sentiasa mengikut peredaran zaman.
“Mana tahu, jika sebelum ini masyarakat pesisir pantai menangkap ikan menggunakan sampan, selepas ini anak cucu mereka akan berkembang maju tangkap ikan menggunakan bot atau kapal nelayan laut dalam,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.