Polis rampas rokok seludup, minuman keras bernilai lebih RM600,000

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 19 April. – Polis Melaka merampas 928,050 batang rokok putih dan kretek, 78 tin serta 45 botol minuman keras, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM685,000 menerusi Op Kontraban sejak Selasa lalu hingga semalam.

Menerusi operasi dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) itu sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang menjadikan negeri ini sebagai pusat pengedaran.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, menerusi sembilan serbuan dalam operasi itu pihaknya menahan 10 suspek termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 62 tahun.

ABDUL Majid (kanan) mengadakan sidang akhbar rampasan rokok dan minuman keras di Mess Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Katanya, turut dirampas empat kenderaan iaitu dua kereta PROTON Ezora dan masing-masing sebuah Honda City dan Honda Accord yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM280,000.

“Kita percaya semua rokok dan minuman keras yang dirampas adalah untuk pasaran Melaka dan bekalan ini diperolehi daripada luar negeri ini, bermakna aktiviti penyeludupan ini tidak berlaku di sini tetapi dilakukan di luar negeri melaka, cuma di Melaka ni dijadikan pusat permasaran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Mes Pegawai Kanan di IPK negeri di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Pegawai Turus Gerakan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Deputi Superintendan Mohd Mazlan Mohd Ariff .

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu dan berselindung di sebalik stor simpanan barang runcit untuk menyimpan rokok dan minuman keras seludup itu.

ABDUL Majid (kanan) bersama Mohd Mazlan (kiri) menunjukkan barang rampasan rokok selepas sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, Melaka. Foto: MR. AZLI

“Sindiket itu menggunakan rumah serta stor simpanan barang runcit sebagai tempat penyimpanan rokok seludup dan minuman keras sebelum diedarkan ke kedai runcit dan pasar raya terpilih,” katanya.

Abdul Majid berkata, semua suspek direman sehingga 27 April ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada masa, beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membeli barangan seludup bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan ini berleluasa.

“Jika orang ramai tidak membeli rokok dan minuman keras tanpa cukai itu sudah pasti aktiviti penyeludupan tidak berlaku, ini bermakna tanggungjawab masyarakat lebih penting bagi mencegah kegiatan jenayah itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

896
Kongsi :
Previous post Polis tahan 4 lelaki disyaki terbabit kes samun, pukul
Next post Pematuhan SOP pasar Ramadan belum memuaskan
Ubah saiz-+=