Malaysia tidak terjejas keputusan Belgium larang penggunaan minyak sawit

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA PILAH 18 April. – Malaysia tidak terjejas dengan keputusan Belgium menyekat atau melarang penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio di negara itu bermula tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata ini kerana pasaran kelapa sawit negara masih besar selain terdapat banyak negara lain mengimport minyak sawit Malaysia termasuk pemasaran yang aktif di Afrika dan Timur Tengah.

“Baru-baru ini pun Afghanistan ada datang bertemu kita dan meminta untuk memperbesarkan lagi saiz sawit di negara itu, kalau sekarang hanya 75,000 tan serta dijangka akan mencecah 150,000 tan, ertinya kita yakin bahawa pasaran sawit kita masih besar dan tidak akan terjejas.

“Di peringkat serantau, peningkatannya juga semakin ketara, kena ingat bahawa minyak sawit Malaysia adalah premium dan berbeza dengan minyak sawit negara lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pekebun kecil di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah nilai eksport agrikomoditi sawit ke Belgium pada tahun lalu berjumlah RM207 juta manakala jumlah nilai eksport ke negara itu setakat Februari lalu adalah sebanyak RM36 juta.

Pada 13 April lalu media antarabangsa melaporkan Belgium akan melarang penggunaan minyak sawit dan soya bermula 2022 sebagai langkah mengurangkan masalah pembalakan hutan selain bahan api bio daripada minyak sawit tidak lagi dibenarkan sama ada di pasaran negara itu dan dalam sektor pengangkutannya.

Pada masa yang sama, beliau berkata Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Jeddah, Arab Saudi yang merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dijangka beroperasi pada Mei ini.

Mohd Khairuddin berkata pejabat serantau itu akan dijadikan Hab Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi ke Timur Tengah yang memiliki pasaran luas dan operasi yang sangat besar.

“Sekarang dalam proses menguruskan pejabat dan urusan penempatan pegawai, Insya-Allah pada Mei selepas Aidilfitri kita akan mulakan operasi, tujuannya untuk mengerakkan pemasaran secara agresif di negara berkenaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai yang disalurkan melalui MRC berjumlah RM10,000 kepada 100 penerima golongan 40 peratus terendah (B40) pekebun kecil getah.

Penerima mewakili kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Pilah iaitu Senaling, Juasseh, Johol, Pilah dan Seri Menanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Peniaga roti canai derita kanser prostat meninggal dunia
Next post Polis serbu pusat hiburan ingkar SOP, 110 pengunjung dikompaun
Ubah saiz-+=